AL-FATIHAH: DJ IKIMfm ABDUL RAZAK ARBAIN Kembali ke Rahmatullah


IKIMfm menerima berita yang menyedihkan di awal pagi tadi apabila penyampainya Dj Abdul Razak Arbain telah menyambut panggilan ilahi. Beliau dikatakan terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lagi motosikal. Difahamkan menjadi rutin arwah untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi dengan motorsikalnya. Beliau meninggal dunia dalam usia 46 tahun.

Arwah yang merupakan Juruhebah Sambilan di IKIMfm telah berkhidmat sejak 3 Julai 2006. Sebelum berkhidmat di IKIMfm, beliau merupakan anggota tentera dan pernah ditempatkan di beberapa kem tentera seperti di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Rasah, Kem Wira Waja Janda Baik dan lain-lain. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Kementah (Mindef) di Cawangan Perhubungan Awam(PR).

Arwah Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Di kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Setiap kali pertolongan diperlukan dari beliau, jarang beliau membantah atau memberi alasan tidak mampu melaksanakannya melainkan beliau menghulurkan bantuan dengan sepenuhnya. Ini diakui sendiri oleh Pengarah Radio IKIMfm, Encik Nik Roskiman Abdul Samad, bahawa arwah adalah antara rakan sekerja yang terbaik dan sentiasa mudah mengikut arahan.

Arwah juga sentiasa turut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program Bonanza Amal Hope 2 Walk di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Cerebral Palsy. Beliau sentiasa menawarkan dirinya untuk turut serta dalam program-program IKIMfm walaupun tanpa sebarang bayaran.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar untuk IKIMfm dan bukan sahaja ditangisi oleh rakan sekerja tetapi oleh ribuan pendengar setia IKIMfm dan peminat beliau yang sentiasa ternanti-nanti kemunculan beliau di ruang udara. Beliau pernah mengendalikan segmen Sembang Pagi sebelum dijadualkan bertugas dari pukul 10 pagi hingga 2 petang. Susulan dari penjadualan siaran berkuatkuasa 1 Januari 2012, beliau telah ditugaskan dalam slot Dinihari jam 2-6 pagi.

Beliau yang dilahirkan pada 13 Mac 1966 meninggalkan seorang balu, Rosnani binti Haji Dali dan tiga orang anak, 2 perempuan dan seorang lelaki.

Moga-moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Abdul Razak Arbain dan menempatkan rohnya bersama orang-orang solihin

Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah untuk Allahyarham. AL-FATIHAH.

p/s: Admin Blog Sensasi peminat setia radio IKIMfm

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: