Anwar tidak akan saman Wall Street Journal

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan mengenai sokongannya terhadap Israel yang disiarkan akhbar itu bulan lepas.

Anwar berkata laporan yang dikeluarkan WSJ adalah tepat seperti mana yang beliau maksudkan.

Ditanya kenapa beliau bertegas tidak mahu menyaman WSJ, Anwar berkata akhbar itu telah meletakkan semua syarat yang disebutkannya yang perlu diikuti sebelum menyokong segala usaha melindungi keselamatan Israel.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas desakan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan supaya Anwar menarik balik kenyataan beliau mengenai Israel itu atau menyaman WSJ jika akhbar itu tidak tepat melaporkan kenyataannya.

Beliau ditemui pemberita selepas bertemu dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas di sini hari ini.

Mengenai pertemuan itu, Anwar berkata Nik Aziz telah mendengar penjelasannya berhubung isu tersebut.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ditanya adakah pendiriannya berhubung Israel berbeza dengan Pas, Anwar berkata terdapat sedikit perbezaan iaitu dari segi penekanan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan Pas akan mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan itu dalam masa terdekat. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: