PAS Mahu Sambutan Hari Kekasih Dihentikan

Menjelang sambutan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari depan, PAS sekali lagi menyatakan pendirian mahu menghentikan sambutan berkenaan.

Pemimpin parti itu termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, sambutan berkenaan mesti dihentikan kerana akan menjadi penyebab kepada aktiviti tidak bermoral.

Bagi timbalannya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, beliau mahu kerajaan mempamerkan iklan anti sambutan Hari Kekasih di televisyen bagi menghalang umat Islam daripada menyambutnya.

"Setiap tahun kita sertai pasukan pencegahan bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain untuk memberi kesedaran bahawa sambutan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syariat Islam.

"Kita tidak mahu sambutannya menjadi amalan dikalangan orang Islam. Langkah terbaik adalah dengan menghebahkannya di televisyen.

"Pihak kerajaan begitu mudah untuk berbuat demikian kerana mereka mengawal media utama," katanya.

Tahun lalu pihak berkuasa agama telah menahan lebih seratus pasangan beragama Islam yang terlibat dalam sambutan Hari Kekasih.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: