Gambar pembunuh bersiri didedah

KOMBINASI gambar Manson dari tahun 1969 sehingga tahun lalu.

 LOS ANGELES - Gambar baharu banduan digeruni, Charles Manson yang dipenjara selama 40 tahun kerana terlibat dalam satu siri pembunuhan kejam telah didedahkan oleh pihak berkuasa penjara California kelmarin.

 Manson yang berusia 77 tahun dikatakan akan menghadiri perbicaraan parol yang baharu pada Rabu depan.

 Gambar itu menunjukkan dia kelihatan tidak kemas dengan rambut beruban dan berjambang. Dia juga masih mempunyai tatu sawastika pada dahinya.

 "Kali terakhir dia menghadiri perbicaraan parol ialah pada Mei 2007. Dia kemudian tidak diberi parol selama lima tahun," kata seorang pegawai, Terry Thornton dari Jabatan Pemulihan California.

 Manson merupakan salah seorang banduan paling digeruni di Amerika Syarikat. Dia dipenjarakan di penjara negeri Concoran, 300 kilometer dari Los Angeles.

 Pada tahun 2007, dia dinafikan untuk mendapat parol buat kali ke-11. Dia pernah mengetuai satu kumpulan ajaran sesat dan merancang plot pembunuhan di kawasan perumahan mewah yang dihuni oleh penduduk kulit putih sebelum menyatakan jenayah itu dilakukan oleh penduduk Afrika-Amerika.

 Manson dikenakan hukuman mati kerana peranannya membunuh tujuh orang mangsa termasuk isteri pembikin filem Roman Polanski, Sharon Tate yang hamil pada Ogos 1969.

 Namun, hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup selepas hukuman mati diharamkan di California pada tahun 1972. - AFP

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: