Mayat bayi baru lahir ditemui dalam warung

POKOK SENA – Seorang peniaga tidak menyangka bau busuk dari sebuah bungkusan beg plastik hitam yang ditemui di warungnya di Kampung Sungai Mati dekat sini, petang kelmarin rupa-rupanya mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan cukup sifat.

Rusdi Abd Aziz, 45, yang tidak berniaga pada Jumaat dan Sabtu berkata, dia hanya menyedari bungkusan berkenaan kira-kira jam 6 petang kelmarin sewaktu dalam perjalanan ke Pekan Langgar untuk membeli barang.

 Menurutnya, dia berpatah balik untuk melihat kandungan bungkusan itu, namun bau busuk dari bungkusan itu membuatkannya berasa tidak sedap hati lalu memanggil beberapa penduduk kampung di situ.

 “Kami kemudiannya menggunakan ranting kayu untuk membuka bungkusan itu lalu ternampak kaki bayi sebelum mengesahkannya adalah mayat bayi yang masih bertali pusat dibalut dengan kain putih.

“Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Langgar mengenai penemuan mayat bayi terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Penduduk kampung, Saad Saadun, 64, pula berkata, ini merupakan kejadian kali pertama berlaku sejak lebih 30 tahun menetap di kampung itu. “Sepanjang tinggal di sini, saya tidak pernah dengar kejadian seperti ini dan tidak tahu sama ada ia perbuatan penduduk setempat atau orang luar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian itu dan mayat bayi terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: