Kisah 15 tahun pengurus Datuk Siti Nurhaliza


Populariti seorang artis itu sememangnya penting untuk menaikkan nama mereka di peringkat yang lebih tinggi lagi. Namun, orang yang berada di belakang artis juga penting dan bertanggungjawab membawa mereka untuk diperkenalkan kepada pihak media mahupun yang lain.

Bergelar pengurus mahupun pembantu peribadi mempunyai fungsi yang sama. Bagi pengurus ataupun kakak ipar kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza, Rozi mempunyai pengalaman selama 15 tahun bersama penyanyi kesayangan ramai ini.

Dia yang juga dikenali sebagai Kak Zyee sudi untuk berkongsi cerita mengenai pengalaman sempena dengan Hari Pekerja semalam. Menjadi seorang pengurus artis cabarannya agak berbeza kerana jadual artis ternyata berbeza dengan yang lain.

Lebih banyak bekerja pada hari minggu dan cuti umum, itu adalah rutin biasa yang harus dihadapi dan apa yang pasti mereka perlu bekerja sehingga lewat malam. Namun, itu tidak mematahkan semangat Kak Zyee untuk terus menjaga Siti secara profesional dan segala kenangan manis adalah seperti bertemu dengan peminat yang tidak kira dari apa bangsa, agama, kedudukan atau pangkat.

 Bagi yang tidak tahu, Kak Zyee juga pernah menjadi seorang wartawan hiburan dan telah mengambil alih tempat arwah bapa dan abang Siti setelah dia mendirikan rumah tangga dengan abang penyanyi tersebut.

Paling penting sebagai seorang pengurus artis, dia harus bersedia pada bila-bila masa sahaja kerana apapun mampu terjadi tidak kira semasa persembahan mahupun selepas itu. Selain memastikan jadual kerja Siti sepanjang hari berjalan dengan lancar, Kak Zyee juga perlu memaklumkan kepada Siti mengenai apa jua perancangan seterusnya agar Siti dapat membuat persediaan dan memberi kata putus selepas itu.

 Walaupun sudah 15 tahun berkhidmat sebagai pengurus Siti, Kak Zyee masih tetap setia menguruskan kerjaya Siti selain mahu terus berbakti untuk syarikat Siti Nurhaliza Production (SNP).

Buktinya, siapa yang tidak mengenali Siti Nurhaliza di dalam bidang nyanyian dan kini sedang bergiat aktif di dalam dunia perniagaan kosmetik yang berjenama Simply Siti. Mengenai perkembangan terbaru Siti, dia kini sedang sibuk dengan promosi untuk memperkenalkan produk wangian terbarunya dan baru saja meraikan majlis jemput menantu buat ahli keluarga baru mereka iaitu adik bongsu kepada penyanyi tersebut yang berkahwin baru-baru ini di Kuala Lipis, Pahang.

Source

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 comments: