TAHNIAH:IKIMfm SEPULUH STESEN RADIO TERBAIK

Kuala Lumpur - 2 Mei. Radio Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) hari ini telah berjaya menduduki dalam senarai sepuluh stesen radio terbaik di Malaysia apabila melonjak ke tangga ke sepuluh dari 38 stesen radio yang terlibat dalam bancian yang dijalankan oleh Nielsen.

 Menurut keputusan Kajian Nielsen Gelombang 1/2012 yang dikeluarkan hari ini, pendengar IKIMfm telah meningkat ke 1,044,000 orang berbanding 811,000 pada bancian yang lepas. Ini adalah peningkatan seramai 233,000 orang, suatu lonjakan yang luar biasa, Alhamdulillah. Ini juga adalah pertama kali IKIMfm mencecah bilangan pendengarnya melebihi sejuta orang secara rasminya.

 Walaupun IKIMfm merupakan sebuah stesen radio yang berkonsepkan dakwah Islami, namun jelas sekali ianya tetap mampu bersaing dengan stesen-stesen radio lain yang rata-rata berkonsepkan hiburan. Lebih membanggakan lagi apabila IKIMfm menduduki tangga keenam dari seluruh stesen radio berbahasa Melayu. 

IKIMfm yang ditubuhkan pada 6 Julai 2001 merupakan stesen yang berkonsepkan pendidikan-hiburan atau sering disebut ‘edutainment’ yang menitikberatkan 3M iaitu Mendidik, Menghibur dan Memberi Maklumat. Lebih dari 40 program disiarkan setiap minggu dengan 75% adalah berbentuk ilmiah dan motivasi diri manakala selebihnya hiburan dan maklumat.

 Pada tahun ini, IKIMfm akan merayakan ulangtahun ke-11 penubuhannya dan kejayaan menduduki sepuluh stesen radio terbaik tanahair ini merupakan suatu kejayaan amat manis yang dianugerahi Allah SWT dalam usaha menyebarluaskan lagi mesej murni ini.

 Kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa sokongan anda semua. Justeru itu, kami di IKIMfm merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh para pendengar setia yang telah memilih untuk bersama IKIMfm, dan yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu tanpa berbelah bagi termasuk menghantar pelbagai komen-komen membina untuk penambahbaikkan dari semasa ke semasa. Semua maklumbalas yang diterima itu amatlah kami hargai untuk kami terus memantapkan lagi kualiti penyampaian dan rancangan stesen kita semua ini.

 Kami menyedari masih banyak kelemahan yang perlu ditangani dan insya Allah, kami warga kerja IKIMfm akan terus komited untuk meningkatkan lagi mutu penyampaian dan menambahbaik lagi rancangan-rancangan sedia ada dari semasa ke semasa dalam usaha memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat. Kejayaan ini adalah kejayaan kita semua, kejayaan untuk penyiaran Islami.

 Terima kasih dan tahniah untuk semua! Teruslah menyokong IKIMfm | Pilihan Utama Anda
.
Source

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: