PTPTN tarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel, KUIS

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil keputusan untuk menarik balik pembekuan pemberian pinjamannya kepada siswa Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

 Sebelum ini, PTPTN telah membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS - kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor - sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.

 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata tindakan pembekuan pinjaman PTPTN itu dibuat untuk memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang mahu pendidikan di negara ini, termasuk di peringkat tinggi, diberi secara percuma.

 Tindakan itu juga diambil ekoran kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pelajar supaya jangan membayar balik pinjaman PTPTN dan berjanji ianya akan dimansukan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang.

 Sementara itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS.

 "Pejabat menteri pagi ini telah mengeluarkan surat (supaya) pinjaman PTPTN diteruskan kepada Unisel dan KUIS," katanya yang tidak mahu namanya disebut. "Eloknya hubungi pejabat YB menteri," katanya dalam SMS tersebut. 

Khaled seterusnya mengesahkan tindakan menarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel. Beliau dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, tindakan terbaru itu diambil ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar."

 "Unisel juga mengakui bahawa PTPTN penting untuk pelajar justeru mengambil kira penjelasan dan keseriusan Unisel mengenai perkara ini saya telah meminta PTPTN menarik balik pembekuan itu pagi ini,’’ katanya seperti dipetik laman itu.

 Perkara itu turut disahkan seorang pegawai kanan kerajaan Selangor yang dihubungi Malaysiakini hari ini.

 Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata siswa berkenaan boleh membuat permohonan pinjaman tersebut bermula malam ini.-Malaysiakini


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: