Rabu, 20 Jun 2012

RM2000 sehari jualan karipap melalui facebook

Kuantan: Seorang pengusaha karipap di Tanjung Lumpur, di sini, kini sudah mampu tersenyum lebar apabila usahanya menggunakan laman web sosial facebook untuk memasarkan hasil jualannya itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

 Berbekal sebuah iPad, Fauziyatul Akma Abdul Rahman, 44, hanya perlu meneliti setiap pesanan yang dihantar pelanggannya dan dia mampu memperoleh jualan kira-kira RM2,000 sehari.

 “Idea untuk menggunakan facebook bagi menjual karipap ini timbul secara tidak sengaja. Pada mulanya, saya membuka akaun facebook ini untuk mencari rakan yang sudah terpisah, namun lama-kelamaan fungsinya semakin berubah dan kini ia seakan menjadi ‘lubuk’ untuk saya menambah rezeki.

 “Kebanyakan pelanggan lebih senang membuat tempahan menerusi facebook kerana bagi mereka ia lebih mudah daripada datang sendiri ke gerai saya. Justeru, tangan saya akan sentiasa memegang iPad ini untuk memeriksa sekiranya ada pesanan baru atau tidak.

Saya akui cara ini berjaya menambah pendapatan saya,” katanya. Setiap tempahan boleh diambil sendiri pelanggan dan Fauziyatul Akma turut menyediakan khidmat penghantaran karipap ke rumah tetapi ia terhad kepada lokasi di sekitar bandar ini saja.

 Karipap yang dihasilkan Fauziyatul Akma sering menjadi perhatian dan pada setiap petang, gerai kecilnya yang terletak di tepi jalan Tanjung Lumpur itu akan dikerumuni pelanggan. Jumlah pelanggan akan bertambah dua ke tiga kali ganda pada setiap hujung minggu hingga kadangkala menyebabkan jalan utama untuk ke Kuantan itu mengalami kesesakan.

 Istimewanya karipap yang dijual di gerai Fauziyatul Akma ialah ia diserahkan kepada pelanggan dalam keadaan panas kerana karipap berintikan daging, ayam, kentang dan samosa yang dihasilkan itu akan hanya digoreng apabila ditempah.

 “Saya mementingkan kualiti karipap dan kepuasan pelanggan, jika karipap yang berada di dalam dulang hidangan sudah agak sejuk, pelanggan boleh meminta karipap lain yang baru digoreng. “Karipap ini dibuat sepenuhnya menggunakan tangan terutamanya ketika proses ‘mengelim’ bahagian tepi karipap dan tidak menggunakan acuan seperti orang lain,” katanya yang menjalankan perniagaannya itu sejak lapan tahun lalu.

 Menyedari karipapnya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, Fauziyatul Akma turut menggajikan enam pekerja yang bertanggungjawab menghasilkan kuih berkenaan.

 Pelanggan di gerai Fauziyatul Akma juga boleh memilih sendiri bentuk karipap yang diinginkan dan setiap satunya dijual dengan harga 50 sen.

 “Pernah juga pelanggan mahu saya membuat karipap berbentuk bulat seakan donut dan berbentuk panjang. Kami akan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan itu. “Hasrat saya ialah untuk membuka beberapa cawangan di bandar ini tetapi ia memerlukan modal yang besar.

Buat sementara ini, biarlah saya menumpukan perhatian kepada gerai sedia ada saja,” katanya sambil memaklumkan dia turut bersedia menerima tempahan jika ada kenduri atau majlis tertentu. -HM

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments:

U Follow I Follow

Google+ Followers

Berita menarik terkini



get this