Tangguh Haji: Bila Yang Tak Faham Hukum Bercakap



 PENULIS perasan media UMNO, Utusan Malaysia hari ini memilih di muka depan, kenyataan Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man seperti yang disiarkan SelangorKini, agar ahli-ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya umum (calon, wakil calon dan agen parti) , menangguhkan dulu ibadah haji masing-masing tahun ini.

 Kalau semua masih belum terlupa, laman ini telah lebih dahulu membangkitkan perkara ini melalui satu entri pada 4 Jun 2012 lepas disini. 

Lanjutan daripada penyiaran artikel tersebut juga, penulis menerima komen-komen yang negatif dari pelbagai pihak, separuh daripadanya terlalu ekstrem sehingga penulis memilih untuk tidak menyiarkannya.

 Sekarang bila kepimpinan tinggi PAS sendiri ‘merestui’ cadangan penulis itu (terhad kepada jentera parti), apakah kata mereka lagi?

 Tapi penulis lihat Utusan tidak langsung menyebut secara spesifik tentang jentera parti yang dicadangkan untuk menangguhkan dulu ibadat haji. Memahami cara Utusan bekerja, ia sepatutnya tidak menghairankan kerana teknik putar belit ini memang sudah jadi mainan mereka sehari-harian.

 Tidak cukup dengan itu, Utusan juga mendapatkan pandangan beberapa orang ‘ulama’ dan ‘tokoh agama’ – majoriti daripadanya diketahui sangat kritikal terhadap parti tersebut seperti Prof. Madya Mohd. Noor Deris, Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fadlan Mohd. Othman (milik UMNO) dan pengasas Pondok Geting Tumpat, Abdullah Sa’amah.

 

 Sudah tentulah orang-orang ini akan memberi pendapat berdasarkan soalan yang dikemukakan wartawan terbabit sahaja. Kalau dijelaskan bukan semua yang diminta menangguhkan, tapi jentera parti sahaja, penulis yakin jawapannya pasti berbeza – itupun kalau orang-orang ini benar-benar faham tentang agama.

 Penulis tidak menolak pendapat yang mengatakan Haji ini adalah wajib (sebahagian daripada rukun Islam). Tapi ia adalah untuk mereka yang mampu sahaja, yang tidak mampu tidak diwajibkan untuk pergi.

 Mampu ini bukan semata-mata berkenaan dengan kewangan sahaja, ada juga faktor-faktor lain yang membolehkan ibadah haji tersebut ditangguhkan. Penulis berpendapat, ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam proses pilihanraya, termasuk dalam kategori mereka yang tidak mampu kerana mereka perlu memberi lebih perhatian dan masa kepada perjuangan parti.

 Dengan itu, kelompok ini tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Seperti dalam artikel yang pertama, penulis telah menyebutkan bahawa Mekah tidak akan pergi ke mana, ia akan tetap berada disitu untuk dikunjungi umat Islam pada musim haji yang akan datang.

 Kalau umur tidak panjang, waris masih boleh menjalankan ‘upah haji’. Apa ada masalah?

 Sedangkan pilihanraya hanya akan datang setiap 5 tahun sekali atau bila ada pilihanraya kecil yang mungkin boleh diadakan pada bila-bila masa berlakunya kekosongan kerusi di kawasan tersebut. Justeru penulis berkongsi pandangan dan pendapat dengan Tuan Ibrahim bahawa pilihanraya lebih penting dan patut didahulukan, dibanding dengan ibadat haji yang berlangsung pada setiap tahun.

 Orang yang mempertikaikan kenyataan ini, sebenarnya jahil tentang Islam. Lagipun, penulis lihat Pakatan Rakyat berada dalam keadaan terbaik untuk menguasai Putrajaya kali ini.

 Tidak mungkin kita akan beroleh peluang yang sama di masa akan datang. Kalau BN masih berjaya mengekalkan kuasa mereka kali ini, harapan kita untuk menguasai Putrajaya akan semakin jauh dari pandangan.

  Source

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: