Desakan hidup memaksa gadis 14 tahun ambil alih tugas ketua keluarga


BALING - Lima beradik dari Kampung Memali, Mukim Siong dekat sini terpaksa berdikari akibat kesukaran hidup menyebabkan ibu bapa mereka terpaksa berjauhan kerana bekerja di Pulau Pinang.

 Kini, Nor Hisab Mohd Sharif, 14, anak ketiga dari lima beradik berkenaan menggalas tanggungjawab menjaga adik-beradiknya yang lain sejak beberapa bulan lalu.

 Mohd Khalid, 15; Nor Salina, 13; Nor Hashimah, 10; Nor Aishah, 6, selain Nor Hisab sendiri hanya dipantau ibu saudara mereka, Norlia Jusof, 43, yang tinggal berdekatan kawasan kediaman mereka itu.

 Nor Hisab yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas abangnya, Mohd Khalid tinggal di asrama SMK Siong.

 Walaupun baru berusia 14 tahun, Nor Hisab terpaksa melayan karenah dan menguruskan kehidupan adik-adiknya termasuk memasak selain menyediakan kelengkapan persekolahan.

 Nor Hisab yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor itu reda dengan segala ketentuan yang menimpanya termasuk kepada adik-adiknya yang lain.

 “Saya reda dengan apa yang berlaku. Saya hanya fikirkan mengenai adik-adik sahaja. Kadang kala, adik ada bertanya mengenai ibu dan ayah, mungkin kerana rindukan mereka.

 “Tidak dinafikan, saya agak tersentuh kalau ada yang bertanya mengenai kehidupan saya,” katanya.

 Lebih memilukan, rumah yang dihuni empat beradik ini tidak mempunyai bekalan air dan elektrik selain keadaan rumah yang tidak bertingkap yang pastinya terdedah kepada bahaya.

 Nor Hisab berkata, ayahnya yang bekerja di sebuah masjid di Pulau Pinang tetap menghantar wang bulanan kepadanya dan adik-adik yang lain.

 Menurutnya, wang itu diserahkan kepada ibu saudaranya yang juga pemegang amanah kepada adik-beradiknya.

 “Setiap hari, ibu saudara akan berikan wang persekolahan kepada saya dan adik. Dengan wang itulah kami berjimat-cermat.

 “Makanan dan minuman diuruskan oleh saya. Kalau tak cukup duit, saya akan minta dengan ibu saudara. Saya yang akan masak dan sediakan makanan kepada adik-adik,” katanya.

 Kesengsaraan empat beradik ini mendapat perhatian segera banyak pihak termasuk melibatkan sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk wakil rakyat. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Datuk Azmi Che Hussin berkata, dia tersentuh melihat keadaan yang menimpa nasib empat beradik ini.

 “Kita akan pastikan kanak-kanak malang ini mendapat keadilan sewajarnya termasuk kemudahan di dalam rumah ini,” katanya semasa melawat dan menyampaikan zakat kepada kanak-kanak malang itu.

 Azmi berkata, anak-anak ini mendapat bantuan JKM sebanyak RM450 untuk kategori bantuan kanak-kanak. Namun begitu, wang bantuan terbabit tidak dapat dinikmati mereka sejak bantuan itu diberikan kepada mereka disebabkan faktor tertentu.

 Keadaan itu membuatkan JKM mengambil tindakan drastik dengan mengubah nama pemegang wang bantuan terbabit kepada mereka yang layak dan amanah.

 “Wang bantuan itu adalah untuk anak-anak ini. Bukannya untuk kegunaan orang lain. Disebabkan kanak-kanak ini masih di bawah umur, wang bantuan terpaksa diberikan kepada penjaga mereka.

 "Justeru, saya berharap, wang bantuan berkenaan diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak untuk kebaikan kanak-kanak ini,” katanya.

 Selain itu, pihak sekolah turut mengambil inisiatif dengan mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak ini dari segi kelengkapan rumah antaranya perabot dan keperluan dapur.

p/s:Harapan kami bukan hanya sekali ini saja bantuan disalurkan...moga berterusan bertepatan dengan slogan "Janji Ditepati"

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

2 comments: