Kebajikan anggota polis perlu dipertingkat - Tan Sri Lee Lam Thye

PETALING JAYA - Kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dipertingkatkan bagi memastikan pasukan keselamatan itu dapat berkhidmat dalam keadaan lebih selesa.

 Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau menyambut baik peruntukan RM591 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013, dalam usaha PDRM menjaga keselamatan negara serta mengurangkan indeks jenayah.

 "Peruntukan yang disediakan ini juga boleh digunakan untuk penyelenggaraan kuarters polis sebagai usaha memastikan kebajikan anggota polis dapat ditambah baik.

 "Aspek penyelenggaraan untuk semua kuarters perlu dipertingkatkan bagi memberi semangat kepada anggota polis keluar bertugas," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan kepada dua anggota polis unit peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, hari ini.

 Turut hadir Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid. Lee berkata keadaan rumah yang selesa dapat membantu anggota polis bekerja dengan lebih baik seterusnya mampu memberikan perkhidmatan cemerlang dalam tugas mereka menjaga keselamatan negara.

 "Kediaman yang baik mampu mengatasi tekanan mental dan fizikal warga PDRM yang berhadapan pelbagai cabaran berat dalam tugas harian," katanya.

 Pada majlis hari ini, Kpl R. Subramaniam, 52, menerima bantuan wang tunai RM2,100 daripada anggota majlis exco MCPF. Rakan setugasnya, Kpl Nor Azlan Abu Bakar, 41, juga akan menerima bantuan tersebut.

 Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang Khamis lepas, dua anggota polis berkenaan ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama.

 Tembakan tersebut menyebabkan Subramaniam cedera di bahagian perut dan Nor Azlan cedera di leher.

 Bagaimanapun, Nor Azlan telah dibenarkan keluar wad pada awal pagi tadi selepas menerima rawatan sejak 27 Sept lepas.

 Berhubung perkembangan terkini kes berkenaan, Wan Abd Bari berkata siasatan masih dijalankan dan beliau meminta orang awam yang berada di tempat kejadian tampil bagi membantu siasatan. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: