Pisau lipat sambal tumis

Pisau lipat yang ditemui dalam sambal tumis. 

KULIM – Seorang pekerja industri, Mohd Ridzuan Abdul Manaf 31, terkejut apabila mendapati terdapat pisau lipat dalam sambal ikan bilis yang dihidangkan di kantin kilang tempat dia bekerja.

 Katanya, dia kemudiannya memaklumkan kecuaian dilaporkan kepada pengusaha kantin, tetapi ia tidak diendahkan sebaliknya pekerja kantin hanya membuang pisau itu sahaja, manakala sambal ikan bilis itu dijual semula.

 “Cuba bayangkan kalau ada di antara pekerja kilang ini yang tertelan atau tergigit pisau itu, mereka pastinya akan mengalami kecederaan parah.

Saya kesal masalah seperti ini tidak diendahkan semata-mata kami hanya pekerja kilang dan berpangkat rendah.

 “Saya bersama beberapa rakan sekerja memaklumkan kejadian itu kepada pihak Sumber Manusia kilang, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.

 “Kami kecewa kerana sebelum ini, pengusaha kantin tidak menitik berat tentang kebersihan ketika menyediakan makanan bagi pekerja kilang seperti kami,” katanya.

 Mangsa ditemui di pejabat Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim. Mohd Zailan berkata, beliau meminta persatuan pengguna mengambil tindakan terhadap pengusaha kantin terlibat, kerana ia membahayakan keselamatan dan kesihatan pekerja kilang.

 Menurutnya, beliau sudah menghubungi Pejabat Sumber Manusia kilang terlibat dan meminta masalah itu disiasat. Sekiranya enggan berbuat demikian, Persatuan Pengguna akan membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan dan membuat pemeriksaan mengejut terhadap penyediaan makanan di kilang itu.

 “Pisau dalam makanan bukan satu perkara yang harus dipandang remeh. Kita tidak boleh mengetepikan keselamatan pekerja biasa yang bukan terdiri dalam kalangan kakitangan berjawatan tinggi,” katanya.
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

2 comments: