Gambar kontroversi: Hanez Suraya kesal

Sepuluh tahun tempoh terpaksa ditempuh aktres Hanez Suraya untuk mendapat tempat tersendiri dalam industri seni.

 Dalam kesyukuran setelah mendapat perhatian bukan sahaja dari penerbit dan pengarah malahan dari peminat industri hiburan, namun Hanez terpaksa akur ada harga yang perlu dibayar selepas namanya mula dikenali.

 Penyebaran gambar-gambar silamnya!  

Tidak melatah atau tertekan dengan penyebaran gambar tersebut, Hanez bagaimanapun mengakui kesal kerana gambar berkenaan sudah berulang disiarkan sejak tiga tahun lalu.

 “Saya akui wanita dalam gambar tersebut adalah diri saya dan gambar tersebut diambil kira-kira lima tahun lalu. Seperti yang saya sudah jelaskan berulang-ulang semenjak tiga tahun lalu, lelaki yang ada di dalam gambar itu adalah kawan-kawan rapat saya.

 “Setiap orang pernah membuat kesilapan dan saya juga begitu, ketika itu saya masih muda, darah muda dan pergaulan agak bebas.

Tapi apa saya kesalkan, gambar tersebut telah tersebar sejak tiga tahun lalu dan setiap tahun, isu gambar tersebut akan dimainkan.

 “Saya juga dah penat beri penjelasan berulang kali. Apa yang ingin saya tegaskan kini, saya tak lagi buat perangai lama. Saya harap isu berkaitan gambar ini dihentikan kerana saya tidak mahu ia menjejaskan periuk nasi saya,” ujarnya.

 Hanez berkata, dek kerana isu berkenaan sudah dimainkan berulang kali, dia sudah semakin lali dan kuat. 

Walaupun sedikit sebanyak memburukkan nama dan kariernya yang kini sedang berkembang, Hanez berkata, dia tidak terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mula-mula menyebarkan gambar tersebut.

 “Selagi tidak beri impak negatif pada karier saya, saya memang tak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang. Lagipun saya tak tahu pada siapa perlu saya saman,” katanya.

 Awi, peminat memahami 

 Hanez berkata, dalam mengharungi dugaan ini, dia amat bersyukur kerana keluarga, kekasihnya, Awi Rafael dan peminat begitu memahami dan banyak memberi sokongan.

 “Isu berkaitan gambar ini sudah diketahui keluarga saya, Awi sendiri dan juga keluarganya. Malah saya cukup bertuah kerana peminat tidak pernah menyalahkan saya dan sentiasa memberi sokongan padu.

 “Awi juga percayakan saya. Sejak kami mula berkawan, dia sudah dimaklumkan mengenai perkara ini. Kami memang saling memberi sokongan. Jika sebelum ini Awi dilanda kontroversi, saya banyak memberi semangat padanya. Kini tiba giliran saya pula dan dia pun memainkan peranan yang sama,” ujarnya.

 Menyentuh mengenai adegan bercium pipi dengan aktor dari seberang, Randy Pangalila, menerusi lakonan Dalam Hati Ada Taman arahan Michael Ang dan Amor Razin, Hanez berkata dia sebenarnya tidak mencium pipi Randy dan ia hanyalah teknik kamera sahaja.

 “Mengenai babak cium itu juga, Awi sudah sedia maklum dan dia tidak cemburu. Rasanya tidak perlu memperbesarkan babak itu kerana saya tidak cium dia betul-betul dan hanya teknik kamera.

 “Menerusi drama tersebut, saya membawa watak sebagai tunang Randy;” jelasnya. 

Mula berlagak diva? 

 Dalam keriuhan mengenai isu gambarnya, Hanez sekali lagi diduga apabila dikatakan bersikap sombong dan tidak bertegur dengan bintang rock, Amy Search ketika di belakang pentas semasa Anugerah Blockbuster.

 Mengakui sedikit terkejut apabila Amy bertindak meluah perasaan dalam laman sosial Twitter milik penyanyi itu, Hanez bagaimanapun tidak melatah dan segera memohon maaf.

 “Saya mendapat tahu mengenai perkara ini menerusi kawan-kawan dan terkejut juga pada mulanya. Kalau ikutkan saya tegur semua orang ketika berada di belakang pentas.

 “Cuma saya segan nak tegur abang Amy. Tapi jika abang Amy terasa, saya mohon maaf kepadanya. Saya tak ada niat nak berlagak atau bersikap sombong.

 “Malah, saya juga bukan seorang yang sombong. Jika orang kenal saya, mereka tahu saya macam mana.

Apa-apa pun jika ada yang rasa saya sombong saya mohon maaf. Mungkin kerana muka saya nampak sombong, tapi saya bukan orang yang sebegitu,” terangnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama Dendam Pecinta.

 Hanez juga akan sibuk di lokasi drama bersiri terbitan RTM berjudul Bunga-Bunga Kemboja yang turut menampilkan pelakon seperti Ako Mustapha dan Cristina Suzanne.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: