Kurung wanita asing: Pengurus Besar ditahan reman

KLANG - Seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus besar sebuah syarikat agensi pembantu rumah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes 105 wanita warga asing yang dikatakan dikurung di premis syarikat berkenaan.

 Lelaki tempatan berusia 49 tahun yang merupakan suspek ke-13 kes itu menyerah diri di pejabat Jabatan Imigresen Selangor cawangan Pelabuhan Klang dekat sini semalam.

 Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Suhaimah Mohd Nor. Kesemua 105 wanita warga asing yang dikurung di premis empat tingkat syarikat agensi pembantu rumah di Bandar Baru Klang di sini berjaya diselamatan oleh Jabatan Imigresen Selangor cawangan Pelabuhan Klang dalam satu serbuan 7.45 pagi Sabtu lepas.

 Pengarahnya Amran Ahmad dilaporkan berkata serbuan mendapati kesemua wanita berusia antara 18 dan 25 tahun itu dikunci di tingkat tiga dan empat premis berkenaan yang terletak di sebelah atas syarikat agensi pembantu rumah terbabit.

 Beliau berkata kesemua wanita itu terdiri daripada 95 warga Indonesia, enam Filipina dan empat Kemboja yang hanya memiliki pas lawatan sosial dan dipercayai masuk ke negara ini antara satu hingga enam bulan lepas.

 Seramai 12 orang ditahan berhubung kes itu termasuk tiga lelaki tempatan yang dipercayai pekerja agensi terbabit. Turut ditahan sembilan wanita masing-masing lima warga Indonesia, tiga Kemboja dan seorang Filipina yang merupakan penyelia kepada kumpulan wanita yang diselamatkan.

 Katanya kesemua wanita yang diselamatkan turut mendakwa mereka dikasari selain makanan dicatu oleh agensi berkenaan serta ada antara mereka yang dipaksa makan kertas setiap kali cuba melawan atau menuntut hak mereka.

 Beliau berkata kesemua wanita terbabit diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Anti Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta dihantar ke Rumah Perlindungan Bukit Ledang, Damansara sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

 Lelaki tempatan dan wanita yang dipercayai penyelia kepada kumpulan wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: