Majlis Resepsi Persandingan Ella Ala Rock n Roll

Setelah selamat diijabkabulkan pada 7 Julai lalu, ratu rock Negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, dan pasangannya, Azhar Ghazali,32, telah diraikan di dalam satu majls resepsi yang indah bertemakan smart casual dan rock and roll, di Kelab Darul Ehsan, malam semalam.

 Majlis yang diadakan di tepi kolam kelab itu bermula setelah mempelai berarak masuk ke atas pelamin diriingi dengan paluan kompang pada jam 9.30 malam.

 Pasangan manis dengan busana serba putih rekaan Rizman Ruzaini dan Ella tampil kemas serta berbeza dengan rambutnya bersanggul tinggi tanpa melepaskan mahkotanya yang panjang mengurai.

 Setelah duduk di pelamin yang merimbun dengan bunga-bungaan berona putih tajaan oleh perancang perkahwinan, Pak Abu itu, keluarga serta tetamu diberi peluang untuk menepung tawar kepada kedua mempelai.

 Majlis yang dikemudikan oleh pengacara, Dang Suria diteruskan dengan acara makan beradab kedua pengantin sambil dihidangkan dengan persembahan nyanyian akustik daripada rakan-rakan Azhar yang menggelarkan diri mereka sebagai Bon Jova Acoustic.

 Pengantin kemudian bertukar kepada persalinan kedua Rizman Ruzaini sebelum ke acara memotong kek.

 Ella anggun bersama gaun petang merah jambu manakala Azhar segak bersut warna kelabu.

 Raja rock Negara, Amy Search kemudian turut mengambil kesempatan meraikan mempelai dengan mendedangkan sebuah lagu berjudul Rozana ditemani pemuzik, Edry Hashim. Namun khas untuk pengantin yang diraikan pada malam tersebut, Amy Search telah mengubah seni kata nama Rozana kepada nama sebenar Ella iaitu Nor Zila.

 Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada anak didik Ella, Caroline yang mendendangkan lagu Terukir Di Bintang dan Tercipta Untukku.

 Paling istimewa, bagi meneruskan konsep mempelai yang mahukan majlis bertemakan rock and roll itu kedua mempelai itu sendiri tampil ke pentas membuat persembahan nyanyian khas yang sangat romantik.

Ella menyampaikan lagunya berjudul Simbiosis ditemani suaminya yang bermain gitar untuk lagu yang dinyanyikan isterinya.

Pasangan pengantin yang diraikan pada malam itu sangat sempoi dan rock and roll walaupun berbaju pengantin.

 Menerima kehadiran tetamu lebih kurang 600 orang, majlis tersebut berlalu dengan begitu santai dan tidak terlalu formal. Cuma majlis berakhir dengan agak lambat iaitu kira-kira jam 12 malam.

 Majlis resepsi ini juga menerima kunjungan daripada rakan artis yang turut hadir bagi meraikan pasangan Ella dan Azhar. Antara selebriti yang hadir pada majlis resepsi bertemakan rona unggu itu adalah Ziana Zain, Misha Omar, Nora Danish, Faradhiya, Amyza Adnan, Ramli MS, Ila Sabri dan ramai lagi.

 Majlis resepsi pertama ini bakal ditayangkan secara eksklusif di Astro Ria, saluran 104 dalam program Layari Impian Ella dan Azhar pada 5 Disember ini bermula jam 9 malam.

Dijangka dua buah majlis lagi akan diadakan khas buat keluarga dua belah pihak untuk meraikan kedua pengantin di kampung halaman.

Credit

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 comments: