Perak juara Piala Emas Raja-Raja

Kesebelasan Perak bersama Piala Emas Raja-Raja 2012 yang membawa kemenangan dengan menewaskan Kedah 2-0. 

 IPOH – Perak muncul juara Piala Emas Raja-Raja 2012 setelah menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Perak malam tadi.

 Hamizul Izaidi dan pemain gantian, Khairul Asraff muncul wira skuad Kejor Yob Kejor itu setelah meledak jaringan pada minit ke-25 dan 30 separuh kedua masa tambahan untuk mengulangi pencapaian muncul juara piala berkenaan 22 tahun lalu.

 Perlawanan bermula baik dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak sejak wisel permulaan hingga menyaksikan benteng pertahanan masing-masing terpaksa bekerja keras bagi mengekang asakan lawan.

 Perak hampir membuka jaringan pada minit ke-28 apabila sepakan percuma Haizal Faquan Sadaruddin hanya sedikit melewati palang gol. 

Perak sekali lagi berpeluang untuk meledak jaringan sulung pada minit ke-33, namun rembatan penyerang, Hamizul Izaidi tersasar.

 Dalam keghairahan Perak memburu jaringan, Kedah pula hampir mengejutkan skuad Kejor Yob Kejor itu. Namun percubaan penyerang Kedah sekadar menggegar palang gol dan seterusnya menyaksikan kedua-dua pasukat terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

 Sebaik bersambung babak kedua, Perak hampir menjaringkan gol, namun penjaga gawang skuad Kenari, Mohd Sheril Anuar bijak melayangkan badan bagi menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

 Bagai tersentak, Kedah mula mengatur asakan dan hampir menjaringkan gol namun percubaan pemain Kedah sekali lagi sekadar menggegar palang gol pada minit ke-59, sebelum rembatan penyerang lincah Perak, Mohd Failee Ghazli dua minit kemudian hanya sedikit tersasar.

 Pada minit ke-86, Perak sekali lagi hampir menjaringkan gol, namun rembatan pemain gantian, Hafiz Ramdan ditepis keluar selain beberapa gerakan susulan selepas itu sekadar berlegar di tengah padang untuk perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

 Sebaik perlawanan bersambung, Hafiz hampir meledak jaringan sulung tetapi rembatan derasnya dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gawang Kedah.

 Sebelum habis lima minit masa terakhir perlawanan, Perak berjaya menjaringkan gol pertama sebelum disusuli jaringan kedua pada minit-minit akhir perlawanan, sekali gus memastikan kemenangan.[SH]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: