Piala AFF: Singapura mara ke final

JUARA tiga kali, Singapura mengesahkan slot ke pentas final Piala AFF Suzuki 2012 dengan mengetepikan Filipina menerusi agregat 1-0 dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Jalan Besar, sebentar tadi.

 Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan ketika beraksi di Stadium Memorial Rizal, Manila minggu lepas.

 Dengan kemenangan ini, Singapura akan menentang sama ada Malaysia atau Thailand yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Bangkok, malam esok.

 Pada perlawanan malam ini, sebaik permainan bermula Singapura lebih agresif dengan beberapa percubaan berbahaya dan seawal minit ke-10, kubu pasukan yang diberi gelaran 'The Azkals' diuji, namun rembatan kencang dari luar kotak penalti tersasar apabila melencong ke kiri gawang lawan.

 Pada minit ke-14, benteng pertahanan Filipina terus diuji apabila larian solo Shahril nyaris membolosi gawan, namun berjaya dikepung pemain Filipina.

 Hasil serangan balas, Filipina hampir berada di depan, tetapi percubaan penyerangnya gagal mengatasi barisan pertahanan Singapura.

 Kehadiran penyokong Singapura di stadium nyata memberi motivasi luar biasa kepada pemain untuk meneruskan corak permainan menyerang.

 Akhirnya, gol yang dicari Singapura tertunai apabila rembatan kencang Khairul Amri pada minit ke-19 dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Filipina.

 Tersentak dengan jaringan tersebut, Filipina kembali memperkemaskan permainan, namun kemaraan mereka mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah. Sebaliknya, gawang pelawat sekali lagi hampir dibolosi apabila tandukan Baihakki hampir menjaringkan gol kedua buat Singapura pada minit ke-27, tapi didakap kemas oleh penjaga gol Filipina.

 Bersambung babak kedua, Singapura terus menggandakan asakan ke kubu Filipina, begitu pun tendangan Shahril jauh melencong dari sasaran. Filipina nyata tidak berputus asa apabila terus melakukan serangan, namun peluang keemasan yang diperolehi pasukan pelawat gagal digunakan sebaik mungkin apabila mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah.

 Filipina terus berusaha menguji benteng pertahanan Singapura pada minit-minit terakhir, namun gagal dilaksanakan sehingga kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: