Safee ikut jejak Mat Yo sertai Skuad Johor

Tanpa angin, tanpa ribut, penyerang sensasi negara, Safee Sali menyertai skuad Liga Super Johor secara pinjaman selama setahun daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema Indonesia.

 Dengan perpindahan pemain yang kini bersama Harimau Malaya menghadapi Piala Suzuki AFF itu menjadikan Johor satu-satunya pasukan disertai enam pemain skuad kebangsaan untuk menghadapi Liga Super 2013.

 Sebelum ini Johor berjaya mengikat Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad.

 Bagaimanapun, sidang media majlis menandatangani kontrak antara Safee dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang sepatutnya berlangsung di Hotel Prince di sini, malam tadi tidak dapat disempurnakan seperti dirancang.

 Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan pemain kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini keluar dari kem.

 “Saya minta maaf kerana sidang media ini tidak dapat dijalankan seperti dirancang kerana FAM tidak membenarkan Safee keluar dari kem.

 “Apa pun kami sudah pun mendapatkan surat pelepasan daripada Arema Indonesia hari ini (semalam) untuk Safee dipinjamkan ke Kelab Bola Sepak Darul Takzim iaitu pasukan Johor selama semusim dari 1 Disember 2012 hingga 30 November 2013.

 “Nilai pinjaman dan gaji bakal diterima Safee tidak boleh didedahkan. “Rundingan sebenarnya sudah dilakukan sebelum ini dan sepatutnya hari ini (semalam) kami dapat mengadakan sidang media.

 “Bagaimanapun, pada 29 Disember ini, kami akan mengadakan sidang media memperkenalkan skuad lengkap Johor untuk musim 2013,” kata Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim pemberita malam tadi.

 Suhairi sempat menunjukkan surat pelepasan yang ditandatangani Pengarah Arema Indonesia, Ruddy Widodo dan surat tawaran kontrak untuk ditandatangani Safee.

 Selepas pengumuman itu, Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang enggan ditemuramah dilihat bersama rombongannya bergegas menaiki kereta dipercayai untuk ke Wisma FAM bagi mendapatkan tandatangan Safee.

 Ditanya tindakan Johor itu boleh mengganggu fokus Safee dan persiapan skuad kebangsaan menghadapi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF, Suhairi berkata: “Kami nak kejar tarikh tutup pendaftaran pemain pada 6 Disember ini. Jadi kami terpaksa menyelesaikan urusan perpindahan ini dengan segera.

 “Apa pun Tunku Ismail mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya.”-BH

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: