Piala Sumbangsih jadi milik ATM,Kelantan kalah tendangan penalti

Pemain dan pengurusan ATM meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR 

 ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) berjaya menjulang Piala Sumbangsih apabila menewaskan Kelantan menerusi sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit perlawanan.

 Kemenangan itu dilihat manis buat ATM yang kalah kepada Kelantan pada final Piala Malaysia dua bulan lalu.

Ini kali pertama ATM menjulang Piala Sumbangsih yang diperkenalkan pada tahun 1985.

 Penyerang import The Gladiators, Bruno Marteloto menjadi wira ATM apabila menjaringkan gol kemenangan sebelum pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

 Kelantan memperoleh gol awal menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-55 manakala ATM pula mendapat gol penyamaan 30 minit kemudian menerusi Fadzly Idrus.

 Dengan kemenangan ini juga membolehkan skuad kendalian B. Sathianathan berjaya menebus kekecewaan final Piala Malaysia selepas tewas 2-3 kepada The Red Warriors.

 Kedua-dua pasukan bermula dengan rentak perlahan dan hambar sepanjang 15 minit pertama perlawanan.

 Tidak banyak gerakan atau percubaan merbahaya dicipta oleh kedua-dua pasukan sebelum skuad kendalian Sathianathan hampir membuka jaringan menerusi hantaran menarik Syazuan Hazani kepada Hairuddin Omar, namun tandukan kapten ATM itu gagal menemui gawang The Red Warriors pada minit ke-15.

 Kehadiran Syazuan menggantikan Mohd. Fainizam Nordin yang ditimpa kecederaan pada minit ke-10 memberikan impak kepada pencaturan The Gladiators apabila sekali lagi mengancam kubu pertahanan skuad kendalian Hodak.

 Begitupun, ATM hampir menerima padah apabila hantaran tidak kemas dari pemain pertahanan, Amiridzwan Taj hampir memakan diri apabila gagal dikeluarkan oleh penjaga gol ATM, Farizal Harun selepas penyerang Kelantan, Keita Manjdou berjaya memintas hantaran tersebut. Namun, gawang The Gladiators kekal selamat apabila percubaan penyerang Import Kelantan itu berjaya dikeluarkan oleh Irwan Fadzly Idrus pada minit ke-40 sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

 Di babak kedua, Kelantan akhirnya berjaya membuka jaringan pertama menerusi rembatan deras Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-55. Begitupun, juara Liga Perdana musim lalu kembali bangkit dengan mengatur serangan merbahaya di kubu pertahanan lawan.

Hasilnya, ATM berjaya menyamakan kedudukan menerusi Irwan pada minit ke-85.
Pemain ATM meraikan kejayaan menjaringkan gol pada saingan Piala Sumbangsih. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR 

 Setelah terikat seri 1-1, kedua-dua pasukan terdesak untuk memburu jaringan kemenangan, tetapi kedudukan itu kekal sehingga penghujung perlawanan dan mengheret ke penentuan sepakan penalti.

 Barisan pemain: 

KELANTAN: Mohd Syazwan Yusof, Obinna Nwaneri, Nik Mohd Shahrul Azim, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid, Zairo Anuar Zailani (K. Nanthakumar), Mohd Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin (Mohd Zamri Ramli), Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), Mohd Norfarhan Muhammad, Keita Mandjou.

 ATM: Mohd Farizal Harun, Amiridzwan Taj Tajudin (Marlon Alex James), Irwan Fadzly Idrus, Mohd Fainizam Nordin (Syazuan Hazani), K. Reuben, Muhd Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya (R. Surendran), Bruno Sebastian Martelotto, Hairuddin Omar, Venice Elphi A/K Danny Kaya, Mohd Fitri Omar.

 Pengadil: Mohd Amirul Izwan Yaacob

Sumber: Sinar Harian

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: