Banyak lagi manafaat dari RM1 juta untuk PSY - Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menyifatkan, tindakan Datuk Seri Najib Razak membayar kira-kira RM1 juta untuk membawa penyanyi Gangnam Style, Psy ke Malaysia sebagai satu contoh dasar wasatiyyah (Kesederhanaan) beliau.

 Bagi ketuanya, Nasrudin Tantawi, daripada membawa seorang artis popular ke Malaysia dengan persembahan hanya semalam, sebaiknya wang tersebut disalurkan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat di negara ini.

 "Masih ramai rakyat di negara ini yang hidup di bawah paras kemiskinan," kata Nasrudin dalam kenyataannya.

 BN melakukan cubaan terkini untuk meraih undi daripada masyarakat kaum Tionghua dengan membawa artis popular Psy dari Korea ke Majlis rumah Terbuka BN Pulau Pinang pada 11 Februari 2013.

 Sebelum ini, Najib membawa artis wanita Korea yang dibawa untuk memikat anak muda dengan gaya K-Pop dan pertunjukan paha dan betis mereka.
(Sebelum ini artis wanita K-Pop yang dibawa) 

 "Begitu terdesak BN mahu mengembalikan populariti mereka yang jatuh menjunam dengan melakukan apa sahaja hatta terpaksa mengimport artis lain sebagai umpan tarikan mereka," kata Nasrudin.

 Kos membawa artis Psy - yang popular dengan lagu Gangnam Style dikatakan bernilai USD300,000 hingga USD400,000 (RM932,100 hingga RM1,242,800) untuk persembahan ringkas dengan lagu yang dirakam dan juga beberapa orang artis iringan.

 Sekalipun BN menafikan program itu anjuran mereka dengan mendalihkan syarikat swasta gergasi Mega Ultimate yang membayarnya, rakyat tetap melihat ia merupakan suatu pembaziran.

 "Apalah malang sebuah syarikat digunakan sebagai proksi untuk membelanjakan duit sejumlah itu hanya untuk menghiburkan rakyat," katanya.

 Mungkin inilah nilai Wasatiyyah pada fikiran Najib dan semua pemimpin UMNO yang beragama Islam, kata beliau lagi.

 Membelanjakan RM 1 juta bukan suatu nilai yang kecil untuk satu malam dan hanya untuk seorang artis popular.

 "Bagi mereka politik dan populariti lebih penting daripada segala-galanya. Biarkan juga para rakyat daripada lelaki dan perempuan, beragama Islam dan bukan Islam bersama-sama menontonnya.

Maklumlah, wasatiyyah!" sindir Nasrudin.

 Beliau kesal kerana tiada pula respons daripada ulama’, cendikiawan dan golongan pembela agama daripada kalangan mereka yang membantah penganjuran konsert ini.

 Jika selama ini ada sahaja isu dimainkan terutama yang berkaitan dengan isu agama Islam dan pasti ianya diperbesarkan sehingga berminggu-minggu lamanya dibualkan di media.

 Pantang ada ruang pasti ada dua tiga kerat ‘umat Islam prihatin’ bangkit berdemonstrasi, getusnya.-Harakah Daily

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: