Isu pengadil: Jurulatih negeri tidak mahu 'cari nahas'

MUTU pengadilan bola sepak tanah air khususnya Liga Malaysia sejak kebelakangan ini telah hebat diperkatakan oleh penggemar sukan.

 Ada juga sesetengah pihak tidak berpuas hati dengan badan pengelola Liga Malaysia dengan mengatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berusaha untuk memajukan industri bola sepak negara.

 Sinar Harian Online hari ini cuba menghubungi beberapa jurulatih bagi mendapatkan komen mengenai perkara tersebut.

 Bagaimanapun rata-rata mereka enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menanggung sebarang risiko atas keterangan yang diberi.

 Salah seorang jurulatih berkata, "maaf...saya tidak boleh memberi sebarang komen, nanti besar kemungkinan saya akan digantung."

 Sementara itu ada juga jurulatih enggan mengambil kisah perkara tersebut.

 "Saya tidak berminat untuk melibatkan diri dalam perkara ini, saya hanya tumpu kepada kerja saya," jelasnya.

 Berlainan pula dengan salah seorang jurulatih yang menyatakan, "jangan cari nahas! saya tidak mahu digantung."

 Dalam pada itu, seorang lagi jurulatih enggan masuk campur urusan tersebut dan menyerahkannya kepada badan pengelola tersebut.

 "Ini urusan mereka, biarkan mereka menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang yang ditetapkan," katanya.

 Selain itu, ada jurulatih yang berpendapat FAM tidak boleh ditegur kerana kritikan itu nanti akan disiasat sehingga membawa kepada penggantungan.

 "Saya tak berani mengeluarkan sebarang kenyataan kerana Artikel 88 hanya membenarkan presiden dan setiausaha agung yang boleh mengeluarkan kenyataan. "Pegawai lain tidak dibenarkan berbuat demikian melainkan mendapat kebenaran," katanya lagi.

 Baru-baru ini, penggantungan Datuk Seri Shahidan Kassim menjadikan beliau individu keempat menjadi 'mangsa' hukuman FAM selepas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang digantung kerana mengkritik FAM.

 Tiga hari lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berpuas hati dan kesal dengan mutu pengadilan bola sepak tanah air sejak bermulanya kancah Liga Malaysia musim ini.

 Beliau yang juga Tunku Mahkota Johor berkata, musim baru Liga Malaysia kini lebih kompetitif kerana semua pasukan saling bersaing untuk meraih kemenangan, namun mengakui standard sistem pengadilan di atas padang amat mengecewakan.

 Katanya, PBNJ bersedia untuk mengemukakan bukti dalam bentuk rakaman dan surat rasmi kepada FAM bagi membincangkan seterusnya mencari keputusan dan penyelesaian melibatkan isu berkenaan.

 “Saya ingin menyuarakan perihal kualiti sistem pengadilan bola sepak di negara ini tidak hanya pada malam ini (kelmarin), tetapi sejak mula musim ini.

 "Bukan sahaja perlawanan melibatkan pasukan dari Johor, tetapi perlawanan-perlawanan lain seperti ATM menentang Selangor serta Kelantan dan Johor Darul Takzim," kata Tunku Ismail.[SH]

p/s: FAM hanya pentingkan diri sendiri saja....tak nak terima cadangan dah kritikan orang luar..sampai bila pun tahap mutu bolasepak Malaysia tetap seperti 'Jaguh Kampung' je.

Biarlah bekas pemain bolasepak yang berada dalam pengurusan FAM baru mutu bolasepak negara akan meningkat..boleh berjaya seperti Brazil,Itali atau Sepanyol

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: