Nazmi hanya ikat kontrak setahun di Beira-Mar

Persatuan Bola Sepak Portugal menyatakan bahawa Nazmi Faiz hanya mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan Beira-Mar dan bukannya tiga tahun. 

 Bekas pemain Harimau Muda, Nazmi Faiz telah menyertai pasukan Divisyen 1 Portugal, SC Beira-Mar pada tahun lepas dan mengikut laporan dari kelab tersebut dan ejennya Marco Guimaraes, Nazmi telah mengikat kontrak selama tiga tahun selepas berusia 18 tahun.

Masa Nazmi di Portugal tidak berpanjangan selepas dia menamatkan kontrak dengan Beira-Mar pada awal bulan ini dan membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia selepas hanya enam bulan di sana. Sejurus kepulangannya, Nazmi telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan pasukan Liga Super, PKNS FC. Walaubagaimanapun dia hanya boleh beraksi pada bulan April pada jendela perpindahan pemain yang kedua. Kepulangan Nazmi telah menimbulkan keraguan dikalangan sesetengah pihak yang meragui kewujudan kontrak tiga tahun yang ditandatangani oleh Nazmi pada bulan Ogos tahun lepas. Baru-baru ini FOX Sports telah menghubungi Persatuan Bola Sepak Portugal untuk mendapatkan kepastian tentang perkara ini dan sumber dari persatuan itu mengesahkan kewujudan kontrak tersebut namun Nazmi bukan mengikat kontrak selama tiga tahun. "Kami boleh mengesahkan terdapat rekod yang Nazmi mengikat kontrak dengan Beira-Mar selepas dia mencecah usia 18 tahun pada Ogos tahun lepas. Namun kontrak itu hanya selama setahun dan telah ditamatkan baru-baru ini. "Dan setakat ini kami belum menerima sebarang permohonan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dari pihak pemain itu atau pasukan barunya," kata sumber Portugal Football Federation. Hal ini menimbulkan persoalan terhdadap ejen Nazmi, Marco Guimaraes yang bertanggungjawab dalam perpindahan Nazmi dari Malaysia ke Portugal dan dari Portugal ke PKNS FC. Selepas kepulangan Nazmi, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kepulangan Fakri Saarani yang akan menyertai Kelantan selepas hanya dua bulan bersama Atletico SC di Portugal. Perkara ini telah melahirkan kebimbangan pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkeples Embong semalam yang mencadangkan agar FAM melakukan siasatan terhadap ejen pemain. "Sebagai persatuan yang bertanggungjawab terhadap sukan ini pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan tambahan pula dua pemain kita iaitu Nazmi Faiz Mansor dan Fakri berada di bawah ejen yang sama. "Pemain harus lebih matang dalam membuat keputusan untuk berhijrah ke negara-negara luar dan mengkaji status kelab yang bakal disertai kerana akhirnya jika tersilap mampu menjejaskan karier mereka," katanya kepada pemberita semalam.-FOX Sports
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 comments: