Tiga ditembak mati semasa tunjuk perasaan antiblogger

DHAKA - Seramai tiga orang penunjuk perasaan terbunuh manakala berbelas-belas yang lain cedera apabila anggota-anggota polis melepaskan tembakan rambang di Bangladesh semalam.

 Kejadian itu berlaku dalam tunjuk perasaan bagi menuntut beberapa blogger yang dituduh kufur dihukum mati.

 Seramai 18 orang cedera selepas terkena peluru di Singair di daerah Manikganj.

 Seorang pegawai perubatan di Hospital Singair, Khalilur Rahman berkata, tiga orang yang terbunuh itu mati selepas cedera terkena tembakan.

 Timbalan Ketua Polis Manikganj, Mizanur Rahman berkata, pertempuran berlaku selepas 3,000 orang penunjuk perasaan termasuk pelajar dari sekolah-sekolah agama dan para penyokong sebuah parti pembangkang utama melakukan sekatan di sebuah lebuh raya.

 "Mereka menyerang kami dengan parang, kayu, bata dan senjata api dari tiga arah semasa kami cuba meleraikan sekatan itu," katanya.

 Keganasan itu berlaku selepas 12 parti kecil Islam yang disokong parti Islam terbesar, Jamaat-e-Islami dan Parti Nasionalis Bangladesh yang membangkang mendesak mogok diadakan di seluruh negara pada Jumaat lalu.

 Mogok itu bertujuan untuk membantah tindakan polis ke atas para pengikut parti-parti tersebut.

 Empat orang terbunuh dalam tunjuk perasaan yang diadakan pada Jumaat lalu itu. Ketegangan memuncak di negara ini berhubung blog anti-Islam yang dikendalikan seorang blogger, Ahmed Rajib Haider.

 Bagaimanapun, Haider mati selepas dibunuh dekat rumahnya di sini.

 Dia dan rakan-rakan bloggernya menuntut parti Jamaat-e-Islami diharamkan dan para pemimpinnya dihukum mati kerana terlibat dalam jenayah perang semasa perjuangan kemerdekaan menentang Pakistan pada tahun 1971. - AFP

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: