Motor harga RM140,000 lesap semasa dibaiki di bengkel

Model motosikal seperti inilah yang dikesan hilang selepas bengkel membaiki motosikal di Bertam Kios dipecah masuk, malam kelmarin. Gambar kecil: Abdul Rahman. 

 PINANG TUNGGAL - Sebuah motosikal berkuasa tinggi berharga RM140,000 lesap dipercayai dicuri selepas sebuah bengkel membaikinya di Bertam Kios di sini dipecah masuk, malam kelmarin.

 Kehilangan motosikal jenis MV Agusta buatan Itali itu disedari oleh salah seorang pekerja bengkel berkenaan pada jam 8.30 pagi semalam selepas membuka premis itu untuk memulakan kerjanya.

 Bengkel berkenaan yang turut menempatkan beberapa motosikal berkuasa tinggi dan motosikal lain untuk dibaiki ditutup pada setiap Ahad.

 Pemilik bengkel yang enggan didedahkan namanya berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pekerjanya memaklumkan kehilangan itu sebelum bergegas ke premisnya dan mendapati motosikal disimpan di situ hilang.

 “Saya memeriksa sekeliling kedai dan mendapati pintu belakang bengkel mengalami kerosakan seperti telah dipecah.

 “Motosikal milik seorang kenalan itu telah hampir sebulan ditempatkan di sini untuk proses penyelenggaraan dan bukan untuk dibaiki,” katanya yang membuat laporan polis berkaitan kehilangan itu kemudiannya.

 Difahamkan, motosikal model itu hanya terdapat sebuah sahaja di negeri ini dan pemiliknya merupakan seorang kontraktor berjaya, tetapi beliau enggan ditemui.

 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 457/379 (A)(1) Kanun Keseksaan kerana pecah premis dan curi kenderaan.

 Dalam kes lain, Abdul Rahman berkata, pihaknya telah berjaya menahan seorang lelaki Melayu di Taman Bagan Dalam, malam Ahad lalu selepas usaha menjejakinya dilakukan hampir dua bulan lalu kerana dipercayai terlibat dalam satu kes bunuh di Langkawi, Kedah awal Januari lalu.

 “Suspek yang merupakan pekerja sebuah stesen minyak di daerah ini dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan seorang warganegara Bangladesh dalam kejadian itu yang ditikam sehingga mati selepas disamun sebelumnya.

 “Suspek juga dikehendaki kerana terlibat dalam kejadian pecah amanah apabila dipercayai melarikan sejumlah wang milik majikannya beberapa minggu lalu,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: