Saiful Bukhari pula dakwa Anwar guna bapanya dalam kes liwat

KUALA LUMPUR - Saiful Bukhari Azlan pula mendakwa bapanya, yang pagi tadi mendedahkan dia telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk memenjarakan Ketua Pembangkang berhubung kes liwat kali kedua, telah menjadi "mangsa kerakusan politik makhluk bernama (Datuk Seri) Anwar bin Ibrahim."

 "Demi ALLAH, agama, bangsa dan negara tercinta, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya. "Saya akan terus istiqamah dan perpegang teguh pada dakwaan saya, segala keterangan saya di mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan sehingga akhir hayat," kata beliau pada sidang media di ibu negara kira-kira jam 6 petang tadi.

 Azlan mengadakan sidang media di Ampang dekat sini kira-kira 11 pagi tadi.

BACA: Pengakuan Bapa Saiful Bukhari: Anak saya diperguna untuk jatuhkan Anwar

 Beliau juga berkata, Anwar tidak perlu mengheret Azlan ke kancah politik bagi mencapai matlamatnya pada pilihan raya umum kali ini.

 “Saya juga memberi amaran kepada Anwar, walaupun terdesak jangan membabitkan bapa saya untuk memutarbelitkan keadaaan dalam mencapai matlamat beliau,” katanya.

 Azlan mendakwa Saiful dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu tidak bertanggungjawab, yang mendalangi kes liwat kedua melibatkan Anwar.

 "Saya Azlan Mohd Lazim sesungguhnya percaya anak saya Saiful Bukhari telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. "Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melibatkan anak saya," katanya.

 Mengulas lanjut, Saiful berkata, Anwar perlu segera bertaubat dan beliau turut berdoa semoga ALLAH membuka semula pintu hati bapanya kembali bersama mempertahankannya. Saiful juga berkata, bapanya akan terus dihormati di samping berdoa serta beristiqamah dalam menempuh perkara ini.

 “Kepada Anwar, bertaubatlah, telah lima tahun saya bertahan, dan berdiri teguh walaupun sukar, saya pasti ALLAH akan balas apa yang dilakukan yang menunjukkan sungguh terdesak serta jijik.

 “Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat. “Saya akan terus berdoa agar ALLAH bukakan hati bapa saya untuk kembali pada jalan ALLAH kebenaran, pertahankan anak kandungnya yang menjadi mangsa,” katanya lagi.

 Pada sidang media selepas membaca kenyataan media itu, Saiful berkata bahawa beliau terkejut dengan tindakan bapanya dan beliau percaya tindakan bapanya itu didalangi pihak tertentu.

 "Saya cuba hubunginya tetapi tidak dapat. Perbualan terakhir saya (dengan bapa) malam tadi dan tiada apa-apa yang berlaku. Kita hanya bincang urusan keluarga untuk ke Terengganu dan Kelantan selain perihal kucing..Sebab itu kenapa saya terkejut."

 "Saya sendiri hendak tanya kenapa perkara ini berlaku yang mana semua orang pun hendak tahu. Saya rayu kepada bapa supaya kembali ke jalan yang benar. "Terang-terang dia tahu Anwar salah... saya pun tidak tahu macam mana dia boleh terpengaruh. Beliau bersama saya setiap hari di mahkamah mengutuk Anwar malah dia orang pertama yang ke depan untuk buat sidang akhbar dan desak Peguam Negara buat rayuan (kes liwat)," katanya. Beliau turut meminta Anwar dan pihak-pihak lain supaya tidak mengheret bapanya ke dalam kes tersebut.

 "Janganlah melibatkan bapa saya walaupun terdesak untuk mencapai matlamat," katanya.

 Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 22 Julai bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.

 Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

 Anwar, 65, yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Saiful (kanan) bersama peguamnya, Zamri Idrus pada sidang media yang diadakan lewat petang tadi. 

KENYATAAN MEDIA SAIFUL BUKHARI AZLAN 

 1. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan berita mengenai bapa saya. Saya sedih kerana bapa saya telah menjadi mangsa kerakusan politik makhluk bernama Anwar bin Ibrahim.

 2. Demi Allah, Agama Bangsa dan Negara tercinta, Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya. Saya akan terus Istiqamah dan berpegang teguh pada dakwaan saya, segala keterangan saya di Mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan, sehingga ke akhir hayat.

 3. Kepada Anwar bin Ibrahim, bertaubatlah. Telah 5tahun saya bertahan, dan berdiri teguh walaupun sukar. Saya pasti Allah akan balas apa yang saudara lakukan. Sungguh terdesak dan jijik sekali.

 4. Saya juga memberi amaran kepada Anwar Ibrahim, walaupun terdesak, jangan membabitkan bapa saya untuk memutarbelitkan keadaan dalam mencapai matlamat beliau.

 4. Saya percaya isu ini sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian isu "pengkhianat negara" yang sedang beliau hadapi.

 5. Walau apapun berlaku, saya yakin KEPADA ALLAH SWT..yang benar tetap benar. Kebenaran tidak dapat dihapuskan walau apa sekalipun.

 6. Saya akan terus berdoa agar Allah bukakan hati bapa saya untuk kembali pada jalan Allah, kebenaran, pertahankan anak kandungnya yg menjadi mangsa.

 7. Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat.

 8. Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya menyeru agar tidak terpedaya dengan permainan jijik Anwar Ibrahim ini.

 9. Kedaulatan Negara kini sedang diancam musuh, ditambah pengkhianat musuh dalam selimut membantu, sudah ramai perwira kita yang telah terkorban, marilah sama-sama kita doa dan pertahankan.

 Akan terus Doa, Istiqamah dan Sabar

 (MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN)

Sumber: Sinar Harian

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: