Anugerah Sukan Negara: Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong dinobatkan olahragawan dan olahragawati 2012

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun negara Pandelela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2012 

 SUBANG JAYA: Kejayaan terbesar meraih pingat perak dan pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik 2012 meletakkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan, manakala ratu terjun tanah air, Pandelela Rinong dipilih Olahragawati Kebangsaan pada majis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2012, Selasa.

 Kedua- dua pemenang ini sememangnya diduga berdasarkan persembahan kemuncak mereka dalam membawa nama Malaysia di peringkat dunia tahun lalu.

 Kejayaan Chong Wei dan Pandelela ini juga merupakan kali kedua berturut- turut selepas turut menggondol trofi tertinggi sukan negara ini pada tahun lalu.

 Namun bagi Chong Wei ia merupakan gelaran keempat bagi dirinya selepas turut meraih anugerah ini pada tahun 2005 dan 2008.

 Sementara itu, Olahragawan Paralimpik Kebangsaan diraih oleh atlet memanah paralimpik negara, Hasihin Sanawi, manakala tiada pencalonan bagi Olahragawati Paralimpik.

 Turut menerima penghargaan selaku pasukan terbaik kebangsaan ialah pasukan hoki lelaki negara, manakala pasukan terbaik wanita dimenangi oleh pasukan skuasy.

 Ketua jurulatih badminton negara, Abdul Rashid Mohd Sidek dipilih sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan, manakala tiada pencalonan bagi jurulatih wanita kebangsaan.

 Datuk Seri Paul Mony Samuel (bola sepak) dan Datuk Abu Samah Abd Wahab (basikal) dipilih menerima Anugerah Kepimpinan Sukan.

 Selain itu, bagi menghargai peranan penting dan sumbangan terhadap sukan negara sebelum ini, Tan Sri Datuk Elyas Omar telah menerima Anugerah Tokoh Sukan 2012.

 Bagi kategori Anugerah Khas, jaguh angkat berat negara, Ng Chow Seng dipilih untuk menerima penghargaan berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam kancah sukan angkat berat dunia.

 Chow Seng merupakan atlet angkat berat yang menduduki ranking pertama dunia dalam kategori 75-80 kilogram bagi dua tahun berturut-turut, malah telah meraih pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat World Master di Limassol Cyprus, 2011.

 Turut meraih anugerah khas ini ialah pelumba tunggal MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin.

 Aksi Zulfahmi dalam dunia permotoran tidak perlu dipertikaikan lagi selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan menaiki podium dalam acara Moto3 pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia, manakala tempat ketiga di GP Valencia.

 Kemenangan itu turut meletakkan Zulfahmi di kedudukan ketujuh keseluruhan pada aksi tahun lalu.

 Senarai penuh ASN 2012: 

 Olahragawan Kebangsaan : Datuk Lee Chong Wei (Badminton)

 Olahragawati Kebangsaan: Pandelela Rinong (Terjun)

 Pasukan Lelaki Kebangsaan : Hoki Pasukan

Wanita Kebangsaan: Skuasy

 Olahragawan Paralimpik: Hasihin Sanawi (memanah)

 Olahragawati Paralimpik: Tiada

 Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Abdul Rashid Mohd Sidek (badminton) 

Jurulatih Wanita Kebangsaan: Tiada

 Anugerah Kepimpinan Sukan : Datuk Seri Paul Mony Samuel (bola sepak) dan Datuk Abu Samah Abd Wahab (basikal)

 Anugerah Tokoh Sukan : Tan Sri Datuk Elyas Omar

 Anugerah Khas: Ng Chow Seng (angkat berat) dan Zulfahmi Khairuddin (motosikal)

-mStar

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: