Azlan Man Angkat Sumpah MB Perlis Yang Baharu

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Perlis kepada Azlan Man (kiri) di Istana Arau hari ini. - Foto Bernama 

 KANGAR - Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pauh ,Azlan Man hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau di sini.

 Azlan, 55, yang merupakan menteri besar Perlis ketujuh selepas merdeka, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

 Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

 Azlan yang merupakan bekas timbalan ketua pengarah Biro Pengaduan Awam memenangi kerusi dewan undangan negeri Pauh pada pilihan raya umum ke-13 selepas menewaskan Ketua Dewan Ulama PAS Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.

 Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

 Beliau juga pernah menjadi Kauselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

 Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah BPA sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: