Bekas MB Kedah Azizan Bakal Jalani Pembedahan Potong Kaki

ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijadualkan menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya di Hospital Pulau Pinang.

 Bekas Setiausaha Akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata doktor telah memberitahu ahli keluarganya bahawa kaki Azizan perlu dipotong bagi mengelakkan jangkitan di kaki beliau merebak ke bahagian anggota badan yang lain.

 "Pemotongan akan dibuat di bawah lutut.

Pembedahan dijadualkan berlangsung selama satu satu jam dari sekarang (4.45 petang)," katanya pada Khamis.

 Azizan, 69, dipindahkan daripada hospital swasta di sini ke Hospital Pulau Pinang pada pukul 4 petang Selasa selepas mengalami jangkitan virus yang serius di bahagian kakinya.

 Helmi turut menjelaskan bahawa Azizan dimasukkan ke hospital kerana penyakit diabetes dan bukannya serangan jantung.

 Azizan jatuh koma pada 5.30 petang Rabu namun kembali sedar pada pukul 9 pagi Khamis.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut meluangkan masa melawat Azizan pada pukul 3 petang tadi.

 "Saya menyeru semua orang mendoakan Azizan cepat sembuh ," katanya.

Azizan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pertembungan empat penjuru dengan calon Barisan Nasional, Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua lagi calon Bebas, Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.

 Azizan memperoleh 13,294 undi manakala Mohd Fazillah yang juga sepupunya mendapat 10,520 undi. Sobri dan Abdullah masing-masing mendapat 100 dan 84 undi.[mStar]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: