Kes Liwat: Saiful Bukhari Bersumpah Laknat Depan Kaabah!

KUALA LUMPUR - Mohd Saiful Bukhari Azlan mengulangi sumpah laknatnya bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kali ini di hadapan Kaabah di Tanah Suci Mekah.

 Dalam sidang akhbarnya di sini hari ini, bekas pembantu peribadi Anwar itu menayangkan video mengenai sumpah laknatnya di depan Baitullah (rumah Allah) yang dibuatnya pada April tahun lepas ketika menunaikan umrah.

 "Setelah setahun saya membuat sumpah laknat di depan Baitullah, Alhamdulillah tiada apa yang berlaku (kepada saya) dan membuktikan kebenaran bahawa saya telah diliwat.

 "Ini adalah benteng terakhir saya untuk teruskan perjuangan saya kepada kebenaran," katanya pada sidang akhbar itu dengan ditemani peguamnya Zamri Idrus.

 Mohd Saiful Bukhari pertama kali membuat sumpah laknat, iaitu mengangkat sumpah mengikut syariat Islam, bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Anwar lebih empat tahun lepas, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pada 15 Ogos, 2008.

 Mohd Saiful Bukhari berkata sumpah keduanya itu dibuat bagi membuktikan kepada umat Islam di seluruh dunia bahawa dakwaannya itu benar, dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk melakukan konspirasi politik menjatuhkan Anwar.

 Beliau berkata tindakannya membuat sumpah laknat pada 2008 itu atas saranan dua tokoh agama iaitu bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

BACA:Kes Liwat: Bapa Saiful Bukhari tarik balik kenyataan beliau dan mengatakan satu konspirasi

 Malah beliau juga pernah bertanya beberapa tokoh agama mengenai tindakan bersumpah laknatnya di hadapan Kaabah, dan dimaklumkan beliau akan menimpa musibah yang besar jika berdusta.

 Pada 9 Jan 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 kerana tiada bukti kukuh yang menyokong keterangan Mohd Saiful Bukhari.

 Kes itu kini dibawa ke Mahkamah Rayuan, yang menetapkan Julai ini bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

 Mohd Saiful Bukhari turut melahirkan rasa kesalnya terhadap Anwar yang sehingga kini enggan membuat sumpah laknat untuk membuktikan bahawa pemimpin pembangkang itu tidak pernah melakukan perbuatan jijik tersebut.

 "Sehinggakan prosiding membela diri di mahkamah juga beliau enggan memberikan keterangan secara bersumpah," katanya.

 Mengenai tindakan bapanya Azlan Mohd Lazim semalam yang menarik balik kenyataannya awal Mac lepas yang mendakwa anaknya diperguna pihak tertentu untuk mendakwa Anwar, Mohd Saiful Bukhari mengakui bapanya pernah dipengaruhi oleh pemimpin PKR untuk membuat pengakuan bertentangan dengan sumpahnya pada Mac lepas.- Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: