Najib angkat sumpah sebagai PM di Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri kepada Najib Tun Razak di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama 

 KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Balai Rong Seri, Istana Negara pada 4.07 petang. 

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

 Najib, 59, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengulangi sejarah apabila mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong sama, seperti mana allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia pada 1970.

 Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri.

 Pada pilihan raya umum ke-13 semalam, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baru.

 Turut hadir ke istiadat itu ialah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta para pemimpin parti komponen BN. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: