IMBAUAN KES LAHAD DATU: Platun Tiger di barisan hadapan

MASIH terngiang-ngiang bunyi tembakan... Masih terdengar hingar-bingar anggota akibat empat letupan bom grenad yang dilepaskan pengganas.

 Peristiwa pada Jumaat, 1 Mac 2013, jam 10 pagi yang menyebabkan dua anggota VAT 69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud terkorban cukup membuatkan jiwa 400 anggota PGA terdiri daripada VAT 69 yang berkampung sejak 12 Februari yang lalu menggelegak.

 Bagi anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) khususnya Platun Tiger Batalion 17, PGA Lahad Datu, pertempuran yang berlaku mengukir sebuah memori yang tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila.

 Megimbas kembali seketika sebelum pertempuran berlaku, Pegawai Pemerintah Batalion 17 Briged Sabah, Superintendan Edward Komoral yang sudi berkongsi kisah itu nyata memberikan kepuasan kepada kami khas untuk tatapan pembaca setia Sinar Harian. 

 Berusia 56 tahun yang lebih mesra dengan panggilan Tuan Edward oleh kami, beliau memulakan ceritanya dengan penuh semangat seolah-olah peristiwa itu baru sahaja berlaku semalam.

 Menurutnya, pertempuran hari pertama memang sudah diduga namun telahan itu meleset selepas seorang anggota pengganas berlari membawa bendera putih.

 “Pada masa itu pasukan pertama anggota VAT 69 yang berada di barisan hadapan merapati kawasan musuh perlahan-lahan menyangka mereka mahu menyerah diri.

 “Tiba-tiba kami terdengar bunyi lolongan yang kuat seperti ala-Red Indian daripada pengganas dan dalam keadaan kecoh itu kami terdengar bunyi dua das tembakan penembak tepat musuh dan disusuli tembakan bertubi-tubi pengganas menyebabkan barisan hadapan mencari tempat perlindungan.

 Menurutnya, melihat keadaan itu, dia mengarahkan sebahagian Platun Tiger mengambil kedudukan untuk menyerang dan melepaskan tembakan ke arah musuh selepas mendapat panggilan radio yang mengatakan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud terkorban.

 “Tembakan bertubi-tubi dilepaskan antara musuh dan juga pasukan kami dan dalam keadaan kalut itu, empat kali letupan kedengaran berpunca daripada grenad yang dilepaskan oleh pengganas.

 “Sebagai ketua pada masa itu, hati saya berdebar-debar kerana musuh mempunyai senjata yang agak canggih, tembak-menembak berlaku dalam tempoh 10 minit sebelum musuh mengundurkan diri ke kawasan semak dan kelapa sawit selepas 12 anggotanya mati ditembak,” terangnya.

 Melihatkan pertempuran reda, beliau lantas mengarahkan dua pacuan empat roda masuk lokasi di mana arwah ASP Zulkifli dan Sarjan Sabarudin dan seorang lagi anggota VAT 69 Lans Koperal Azman Ampong dan Lans Koperal Fahmi Mokhtar ditembak dan kedua-duanya dikejarkan Hospital Lahad Datu.

 Menurutnya kepungan di kawasan itu diperketatkan dengan anggota Platun Tiger dan VAT 69 mara perlahan-lahan ke hadapan masuk ke Kampung Tanduo.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: