Logo Petronas versi terbaru diperkenalkan

Versi Baru Logo Petronas Malaysia
Logo Petronas Lama
KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memperkenal versi baru logo korporatnya, iaitu suatu langkah yang merupakan sebahagian daripada rancangan seluruh kumpulan untuk memperkukuhkan lagi potensi tampak ikon korporatnya.

 Logo korporat baru itu, yang diperkenalkan pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke 17 2013 di sini hari ini, menyaksikan "wajah dan suasana" baharu dirangkumkan ke dalam logo 'titisan minyak' asal Petronas untuk mencerminkan ekspresi tampak kedudukan dan konsep baharu Petronas Group.

 Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata selain menjadikan logo korporat itu lebih kontemporari, ia juga dibina berasaskan ekuiti dan warisan jenama Petronas sedia ada.

 "Pada dasarnya, logo baru ini melambangkan pertumbuhan dan perkembangan jenama Petronas.

Struktur asas terdiri daripada ciri titisan minyak dan simbol 'P' yang mencerminkan perniagaan terasnya dalam minyak dan gas, dan dinamisme syarikat itu.

 "Di tengah-tengah titisan minyak itu ialah bulatan padu yang melambangkan kitaran lengkap atau rantaian nilai industri minyak dan gas," katanya.

 Sementara itu, warna hijau zamrud Petronas yang dikenali umum, melambangkan laut dan bumi, tempat asal minyak dan gas.

 Logo baru itu yang merupakan logo generasi ketiga Petronas menyaksikan keluk yang lebih lembut ditambah kepada titisan minyak yang menggambarkan aliran berterusan yang melambangkan usaha Petronas untuk mencapai kemajuan dan semangatnya dalam menghadapi cabaran memenuhi permintaan dan harapan pemilik kepentingannya.

 Logo asal Petronas dilancarkan pada 1974 ketika syarikat minyak nasional itu mula-mula ditubuhkan. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: