AL-FATIHAH: Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

Jasin: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 77, meninggal dunia di kediamannya di Merlimau Pasir, di sini, akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang, kira-kira jam 5.50 petang semalam.

Anak kelima Allahyarham, Muhd Aidi Iskandar, 34, berkata arwah dimasukkan ke Hospital Gleneagles, Ampang kerana komplikasi dua penyakit itu sejak hujung Mei lalu.

“Bagaimanapun, beliau (bapa) dipindahkan ke Hospital Melaka, Isnin lalu, sebelum doktor membenarkan dia dibawa balik ke rumah malam semalam (kelmarin).

“Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di depan seluruh ahli keluarga petang tadi (semalam),” katanya ringkas ketika ditemui di rumahnya di sini, malam semalam.


Abu Zahar menjadi Ketua Menteri Melaka kelapan menggantikan Datuk Seri Mohd Zin Abd Ghani yang meninggal dunia akibat angin ahmar pada 1997. Beliau pernah menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai pada 1986 selama dua penggal, diikuti DUN Merlimau (1995 hingga 1999) dan Parlimen Jasin (1999 hingga 2004).


Anak saudara Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Roslan Ahmad pula berkata, bapa saudaranya itu dipercayai menderita penyakit itu sejak lebih 10 tahun lalu.

“Beliau dibawa pulang ke rumahnya dan meninggal dunia di sisi isteri, Datin Seri Khalijah Mohd Jedi dan enam anaknya tadi,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan pemergian Abu Zahar sebagai satu kehilangan besar kepada Melaka termasuk UMNO.

“Beliau dianggap seorang individu yang sentiasa meletakkan kepentingan UMNO di depan selama ini dan turut disegani ramai,” katanya..

“Selain itu, sepanjang pentadbirannya sebagai Ketua Menteri berjaya memartabatkan institusi pendidikan ke peringkat tinggi,” katanya. Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Haron turut hadir menziarah Allahyarham.

Abu Zahar juga pernah menjadi Speaker DUN Melaka pada 1990 hingga 1995, Exco kerajaan negeri (1995-1997) dan Ketua Menteri Melaka (1997 hingga 1999).

Jawatan terakhir beliau adalah Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri pada 1999 hingga 2004.

Jenazah bapa kepada pelakon dan pengacara terkenal Khaidhirah atau Dira, 27, itu dijangka dikebumikan di Makam Pahlawan di masjid negeri, hari ini.[myMetro]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: