Lelaki Ditemui Mati Dengan Tangan, Kaki Terikat Pada Tangga Disandar Pada Pokok

MAUT DI TANGGA... Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintenden Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah (kanan) memerhatikan anggota polis dari Unit Forensik IPK Perlis melakukan siasatan terhadap mayat seorang lelaki yang ditemui mati di Kampung Padang Siding, Arau, Perlis pada Selasa. Lelaki yang dipercayai berumur lingkungan 20-an itu ditemui mati terikat pada tangga yang disandarkan pada sebatang pokok dalam kebun buah-buahan oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut pada pagi Selasa. – Foto: BERNAMA

KANGAR: Seorang lelaki ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat pada tangga yang disandarkan pada sebatang pokok manggis di sebuah kebun buah-buahan di Padang Siding dekat sini, Selasa.

Mayat lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang bahagian matanya turut ditutup dengan ikatan kain ditemui kira-kira pukul 10 pagi oleh orang ramai yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Superintenden Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, lokasi kejadian hanya kira-kira 20 meter dari jalan raya utama dan punca kematian sedang disiasat.
Pihak polis memeriksa mayat lelaki yang tidak dikenali identitinya dengan keadaan tangan dan kaki diikat.

"Tiada sebarang kesan luka pada mayat mangsa. Identiti mangsa belum diketahui dan tidak dapat diketahui sama ada mangsa itu warga tempatan atau rakyat asing," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan punca kejadian. - BERNAMA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: