Noniswara sah bercerai secara taklik

KUALA LUMPUR - Setelah lapan bulan digantung tanpa tali, pelakon Noniswara Baharudin akhirnya sah bercerai secara taklik dengan suaminya Datuk Rosman Ridzwan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Hakim Syarie Umamuddin Yunus memutuskan demikian di dalam kamar hakim selepas ahli perniagaan itu membayar RM10 sebagai syarat dalam lafaz taklik dalam prosiding kes tersebut.

Sejurus menerima bayaran daripada Rosman, mahkamah meluluskan permohonan cerai taklik yang difailkan Noniswara sejak 9 Mei lalu.

Permohonan cerai taklik difailkan itu mengikut Seksyen 50 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Peguam Datuk Amli Embong yang mewakili Noniswara, 44, ketika ditemui berkata hakim mensabitkan cerai taklik berdasarkan lima alasan.

"Selain syarat bayaran RM10, mahkamah juga mengambil kira keterangan plaintif, saksi, hujah peguam dan sumpah Iztizhar.

"Sumpah itu dibuat plaintif kerana perbicaraan dijalankan di sebelah pihak selepas Rosman, 56, tidak pernah hadir ke mahkamah," katanya.

Menurut Amli, hakim juga menerima RM10 sebagai bayaran bagi pihak defendan sepertimana yang tertera dalam lafaz taklik yang dibuat semasa bernikah.

Sementara itu, Noniswara mengaku lega dengan status baru namun tidak menafikan sebak sehingga mengalirkan air mata ketika hakim membacakan keputusan.

"Selama tujuh hingga lapan bulan, saya tak ada dia dan sekarang rasa tiada beza, perasaan sayang sudah tidak relevan lagi buat masa sekarang cuma ada kenangan manis," katanya.

Noniswara mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Perkahwinan pasangan itu yang bernikah pada 31 Julai 2009, bergelora selepas terdapat gosip yang mengaitkan Rosman dengan seorang aktres sehingga lelaki itu dikatakan meninggalkan Noniswara tanpa khabar berita.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: