Erti #Kemerdekaan Selebriti Tanah Air

Esok, tanggal 31 Ogos 2013, seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-56. Bertemakan, Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku, Hari Kebangsaan merupakan detik bersejarah yang perlu diraikan dengan penuh kesyukuran di negara yang berdaulat serta aman ini.

Setiap individu pasti mempunyai definisi terhadap kemerdekaan dari persepsi mereka sendiri. Apa kata kita ikuti komen beberapa selebriti tempatan mengenai definisi kemerdekaan dari sudut pandangan mereka.

Black Hanifah
"Kemerdekaan adalah kebebasan negara dari penjajah asing dan ia merupakan perjuangan dari nenek moyang kita. Secara peribadi, saya lihat remaja sekarang semakin melupakan perjuangan nenek moyang kita dan kurang menghayati erti kemerdekaan. Mungkin kerana mereka dilahirkan di era baharu dan tidak pernah melalui sendiri zaman keperitan penjajahan. Apapun, semangat kemerdekaan perlu disematkan dalam diri kita kerana kemerdekaan amat penting bagi sesebuah negara untuk kita hidup bersatu padu serta melangkahlebih maju lagi ke hadapan."

Adibah Noor

"Erti kemerdekaan pada saya adalah kebebasan untuk bangun dan keluar mencari rezeki tanpa rasa takut. Bagi menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara, saya buat lagu bersama dengan Dina Nadzir berjudul Malaysia Kau Ku Cinta di mana komposernya adalah Azlan Abu Hassan dan lirik ditulis oleh saya sendiri. Walaupun negara kita perlu pembaikpulihan, pada dasarnya inilah satu-satunya bumi yang bertuah, tanah tumpah darah kita. Tiada lain selainnya, cintailah negara kita dan sumbangkanlah tenaga kita dalam membangunkan negara kita. Usahlah berpaling tadah dalam perkataan mahupun tindakan kita. Selamat menyambut hari kemerdekaan negara!"

Johan As’ari

"Kemerdekaan bagi saya adalah jambatan menuju akhirat di mana setiap manusia berjuang demi memerdekakan diri mereka. Kita bertuah kerana memiliki tanah air yang makmur, tidak seperti negara bergolak yang lain. Justeru, hargailah detik keamanan Malaysia, tanah tumpahnya darah kita. Saya bangga menjadi anak Malaysia dan tinggal di bumi yang aman ini."

Linda Onn

"Definisi kemerdekaan bagi Linda ialah kita bebas dari cengkaman penjajahan dan mempunyai peluang untuk bergerak dalam ruang yang lebih besar. Sebagai penyampai radio Suria FM, sudah tentu saya akan semarakkan hari bersejarah ini dengan membincangkan topik berkaitan dengan kemerdekaan di radio. Lagu-lagu yang dimainkan juga bercorak patriotik serta memperbanyakkan pesanan khidmat masyarakat mengenai kemerdekaan. Selain itu, saya juga akan kibarkan Jalur Gemilang di motorsikal, kereta dan juga restoran saya. Kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan dan jangan biarkan kacau-bilau terus berleluasa. Semoga kita hidup kekal harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa sampai bila-bila."

Marsha Milan

"Bagi saya, merdeka adalah apabila kita semua bebas daripada cengkaman dan anasir jajahan luar. Kita boleh lihat dalam jangka masa sekarang ini, merdeka boleh membawa definisi kepada pemikiran seseorang individu yang bebas daripada aspek pemikiran dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Selamat menyambut Hari Merdeka buat seluruh rakyat Malaysia, moga kita semua terus maju jaya dan aman damai!"

Ilaa Damia

"Pada pendapat saya, merdeka itu membawa maksud apabila kita bebas dari jajahan orang lain. Di zaman sekarang yang serba moden ini, ada sesetengah generasi baru yang lupa akan perjuangan orang-orang yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara. Kita seharusnya bersama-sama menyambut hari yang berbahagia pada 31 Ogos nanti dengan penuh rasa syukur terhadap perjuangan yang dilakukan oleh orang lama. Jangan pernah lupa jasa dan bakti para perajurit negara yang membebaskan negara kita dari cengkaman penjajah!"

Ainan Tasneem

"Pada pemikiran saya, merdeka membawa erti kebebasan yang kita kecapi sekarang ini. Syukur kepada Tuhan yang negara kita telah masuk tahun ke 56 Merdeka dan bebas dari segala ancaman negara penjajah. Kita sendiri memerintah dan mentadbir negara kita secara aman dan damai, kita harus bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita ada sekarang ini. Raikan merdeka dengan penuh rasa semangat dan rasa patriotik!"

Najwa Latif

"Erti merdeka dalam tafsiran saya ialah kemenangan untuk negara Malaysia yang perlu kita sentiasa ingati dan hargai kerana jika tanpa kemerdekaan, kita mungkin tidak akan dapat kecapi apa yang kita ada sekarang. Semoga kita semua rakyat Malaysia akan sentiasa aman damai, sejahtera dan bersatu padu!"

Zul Ariffin

"Bagi pendapat saya, erti merdeka ialah apabila kita bebas daripada segala jajahan dan perkara yang boleh memudaratkan kita. Di zaman kini yang serba moden dan canggih, kita seharusnya memastikan yang mentaliti kita bebas daripada dijajah. Kita seharusnya sebagai sebuah masyarakat negara Merdeka harus bersatu padu dan bersyukur dengan kemerdekaan yang kita semua telah kecapi. Merdeka!"[gua.com.my]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: