#mesirkini :Kumpulan pertama pelajar Malaysia dari Mesir selamat tiba

- Foto Ihsan Berita Universiti Facebook Page

SEPANG - Enam rakyat Malaysia di Mesir yang merupakan kumpulan pertama dalam Ops Piramid 2 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mereka, yang tiba pukul 6.40 petang itu, disambut Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan.

Mereka ialah Balkis Mohd Shariff, 51, Said Mubarak Said Ahmad, 13, Azka Raffudin Ramli, 20, Ellyeen Nur Atiqah Mohd Salleh, 24, Nurul Adha Saabani, 20, dan Muhammad Yusof Muhammad Razif, 20.

Kumpulan berkenaan merupakan sebahagian daripada 426 pelajar Malaysia di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui empat penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai hari ini dan esok.

Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata keselamatan pelajar Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dan urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius.

Kamalanathan pada sidang media berkata beliau berharap misi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir akan selesai selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Setelah mendengar pengalaman dan cerita daripada mereka (enam orang rakyat Malaysia ini) sangat menyedihkan dan menyayat hati," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan menerusi Ketua Setiausaha Kedua Datuk Seri Dr Zaini Ujang dijadual akan mengetuai delegasi ke Mesir pada Sabtu ini untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian pengajian tinggi negara itu membabitkan urusan pembelajaran semasa pelajar Malaysia.

Nurul Adha berkata beliau menetap di kawasan perumahan yang selamat di Mesir dan memilih pulang ke tanah air selepas mendapat nasihat kerajaan Malaysia.

"Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah apabila ditahan tentera Mesir dan diperiksa secara menyeluruh kerana mereka mencari anggota pemberontak ketika itu," katanya.

Beliau berkata ada juga rakannya yang tidak mahu pulang ke tanah air kerana bimbang mereka akan ketinggalan pelajaran dan rugi masa untuk ulang kaji pelajaran.

Azka Raffudin, yang menetap di Zagazig berhampiran bandar Kaherah, berkata beliau tidak berani keluar rumah kerana perintah berkurung oleh pihak berkuasa Mesir.

"Bagaimanapun, pengalaman mengerikan apabila saya berada dalam sebuah bas awam pada jarak sekitar 100 meter melihat dengan mata sendiri seorang rakyat Mesir ditembak di kepala dan rebah.

Mangsa dibantu rakannya tetapi saya tidak tahu adakah mangsa selamat akibat tembakan itu," katanya.

Keadaan di sana sangat kelam-kabut dan sukar untuk mencari sebuah kawasan yang benar-benar selamat kerana pihak berkuasa Mesir akan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap semua orang untuk mencari kumpulan pemberontak, kata Azka. - Bernama[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: