#PRIHATIN: Empat beradik gagal bersekolah kerana masalah kad pengenalan

Leha bersama anaknya membantu suaminya yang sukar berjalan.

KUALA PERLIS – Empat beradik dari Kampung Kurung Tengar, di sini terpaksa melupakan hasrat mereka untuk ke sekolah selepas ibu bapa mereka tidak memiliki kad pengenalan bagi melayakkan mereka menjadi pelajar.

Rohana Abdul Hussin, 16, Shafikah, 15; Mohd Bahari, 12, dan Nur Shahirah, 11, terpaksa belajar sendiri di rumah akibat masalah yang dihadapi.

Shafikah berkata, dia pernah belajar sehingga darjah enam namun kini tinggal di rumah sambil membantu ibunya, Leha Ismail, 54, mengutip barang plastik untuk dijual.

“Saya nak ke sekolah sebab saya suka belajar dan ingin berjaya seperti kawan-kawan yang lain tetapi sekarang harapan saya berkecai kerana ibu bapa tak ada kad pengenalan.

“Saya cuma mahu mencari ilmu, jadi tolonglah kami adik beradik kerana kami sendiri tak minta dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan ini," katanya.

Bagi adik bongsu mereka, Nur Shahirah pula tidak sempat bersekolah namun pandai menulis dan membaca hasil tunjuk ajar kakaknya.
Nur Shahirah boleh menulis dengan baik walaupun tidak pernah bersekolah.

Katanya, dia sangat cemburu melihat rakan-rakannya dapat ke sekolah tetapi zaman kanak-kanaknya dihabiskan di rumah.

“Saya pandai menulis dan membaca, kalau ada surat khabar yang dibuang, maka ia akan menjadi bahan bacaan saya.

“Kalau nak minta ayah beli buku, saya tahu dia tak mampu, jadi saya membaca dengan apa yang ada sahaja walaupun surat khabar yang digunakan untuk membungkus barang,” katanya.

Permohonan MyKad ditolak

Leha berkata, dia beberapa kali membuat permohonan untuk mendapatkan MyKad namun ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang diperlukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, dia tidak mahu nasib malang dirinya turut menimpa kepada anak-anaknya kerana daripada 13 anaknya, hanya tiga mempunyai kad pengenalan yang berstatus sementara dan pemastautin selepas dijadikan anak angkat.

“Status saya menyebabkan anak-anak saya dinafikan hak kerakyatan sehingga menyukarkan mereka memiliki kad pengenalan biru.

“Ibu saya orang Siam, bapa saya orang sini tetapi kerana kemiskinan, saya diserahkan kepada keluarga angkat yang gagal mendaftar kelahiran saya,” katanya.

Leha berkata, permohonan anak-anaknya untuk menjadi warga Thailand juga tidak dapat diproses walaupun suaminya, Abdul Hussin, 58, berasal dari negara itu.
Leha dan suami bersama anak mereka yang berusia antara 36 hingga 11 tahun.

Katanya, kerajaan Thailand tidak dapat membantu untuk mendaftar anak-anaknya mendapat kerakyatan negara itu kerana kesemua mereka dilahirkan di Malaysia.

“Sekarang hanya anak-anak saya sahaja menjadi harapan saya sebab itu saya nak mereka ke sekolah kerana hanya dengan ilmu sahaja masa depan keluarga saya boleh berubah.

“Suami saya kini sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis sehingga dia sukar bergerak dan tak mampu melakukan sebarang kerja lagi,” katanya.

Menurutnya, sekiranya dia dan suami meninggal dunia, dia tidak sanggup anaknya menjadi pelarian disebabkan kesilapan masa silam keluarganya.

Bukti kelahiran tidak lengkap

Sementara itu, menurut satu surat yang dihantar oleh JPN Perlis kepada Leha, permohonan pendaftaran lewat kelahiran ditolak kerana bukti kelahiran yang dikemukakannya tidak kukuh dan lengkap.

Surat JPN itu turut menyebut terdapat percanggahan dan keraguan terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan.

Leha bersama suami serta anak-anaknya kini menetap di sebuah rumah yang hampir roboh kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Bagi yang ingin membantu, Leha boleh dihubungi di talian 011-34678165 atau 012-5390013.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 comments: