#AL-FATIHAH :Anggota polis maut bergelut suspek curi besi buruk

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye (kiri) menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan berupa wang tunai kepada Atiqah Mohd Rosdi @ Mohd Rodi, isteri kepada Kpl Zal-Azri Abd Somad, (dua kanan) di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, Isnin. Zal-Azri dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka maut akibat kecederaan parah di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini kira-kira jam 8 pagi Isnin. -fotoBERNAMA

MELAKA - Seorang koperal polis maut ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini, hari ini.

Dalam pergelutan itu, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan mati di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata Zal-Azri menyertai operasi itu bersama seorang pegawai dan tiga anggota lain dari bahagian itu untuk menangkap sekumpulan lelaki yang disyaki cuba mencuri besi buruk di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cheng awal pagi ini.

Polis berjaya menahan tiga lelaki masing-masing berusia 17, 22 dan 23 tahun dan kira-kira pukul 8.30 pagi, seorang daripada suspek itu cuba melarikan diri.

"Zal-Azri cuba menahan suspek berusia 17 tahun itu dan berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan anggota kami cedera di kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Raja Shahrom berkata suspek yang dapat melarikan diri selepas pergelutan itu, berjaya ditahan di Krubong pada pukul 10.50 pagi ini.

Beliau berkata serbuan ke kawasan kilang itu dibuat setelah polis mendapat maklumat tentang sebuah lori curi yang digunakan untuk kegiatan mencuri besi buruk berada di kawasan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Zal-Azri telah berkhidmat selama 15 tahun sebagai anggota polis dan baharu dua bulan ditukarkan ke bahagian itu berdasarkan perkhidmatan cemerlangnya sebelum ini di Alor Gajah," katanya.

Raja Shahrom berkata Zal-Azri yang berasal dari Pulau Pinang meninggalkan seorang balu dan dua anak. - Bernama


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 comments: