Bill Gates Pertahan Gelaran Individu Terkaya Di AS

Pengasas syarikat teknologi Microsoft, Bill Gates kekal individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) dengan nilai kekayaannya mencecah AS$72 bilion (RM234 bilion).


Jumlah itu merupakan kenaikan sebanyak AS$6 bilion (RM19 bilion) berbanding tahun lalu. Gates mengungguli senarai terbaharu 400 individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan oleh majalah Forbes kelmarin.

Menurut Forbes, gabungan kekayaan golongan paling kaya di AS mencecah AS$2 trilion (RM6.48 trilion), meningkat daripada AS$1.7 trilion (RM5.51 trilion) pada tahun 2012.

Purata nilai bersih kekayaan mereka yang berada dalam senarai tersebut adalah sebanyak AS$5 bilion (RM16.1 bilion), angka tertinggi setakat ini.

Pelabur terkenal, Warren Buffett menduduki tempat kedua dengan kekayaan sebanyak AS$58.5 bilion (RM190 bilion), naik $12.5 bilion (RM40.6 bilion) dari tahun lalu.

Berada di tempat ketiga ialah pengasas Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan sebanyak AS$41 bilion (RM133 bilion).

Selain menjadi antara bilionair paling muda, pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg juga mencatat pertambahan kedua paling tinggi dengan kekayaan sebanyak AS$9.6 bilion (RM31 bilion).

Zuckerberg yang baru berusia 29 tahun kini kembali berada dalam senarai 20 teratas selepas jatuh ke tangga 36 pada tahun lalu. –Agensi

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: