#KECOH :Pelajar 11 tahun diminta jawab kaji selidik seks

JAKARTA 5 Sept. - Ibu bapa di wilayah Aceh gempar apabila anak-anak mereka berusia 11 tahun yang belajar di sebuah sekolah diminta menjawab soalan berkisar seks, dalam satu kajian dengan mengisi borang kaji selidik yang diedarkan.

Pelajar lelaki di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Negeri di Sabang, Aceh ditanya sama ada mereka sudah melalui pengalaman melalui mimpi basah atau belum, sementara pelajar perempuan diminta menjawab tentang saiz buah dada mereka.

"Saya sangat terkejut sebaik-baik melihat borang soal jawab yang turut menampilkan imej buah dada serta alat kelamin lelaki dan perempuan," kata Nurlina, seorang ibu kepada seorang pelajar di sekolah berkenaan seperti dilaporkan akhbar Jakarta Globe, hari ini.

Menurut Nurlina, dalam satu halaman borang berkenaan, pelajar diminta menanda saiz alat kelamin mereka yang paling hampir dengan memilih satu daripada beberapa jawapan dalam soalan berbentuk objektif itu.

Ketua Jabatan Pendidikan Sabang, Aceh, Misman mengesahkan borang kaji selidik itu diedarkan kepada pelajar sekolah-sekolah SMP di daerah berkenaan selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan.

"Kaji selidik itu dibuat atas cadangan Pusat Kesihatan Masyarakat bertujuan mendapatka maklumat tentang rekod kesihatan kanak-kanak," katanya.

Borang kaji selidik yang sama, jelas Misman, pernah diedarkan pada tahun lalu, namun tidak ada sebarang bantahan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak memandangkan tiada imej alat sulit perempuan dan lelaki yang dicetak pada borang tersebut.

Bagi Nurlina, dia tidak dapat menerima penjelasan daripada pihak berkuasa berhubung tujuan mendapatkan rekod kesihatan kanak-kanak di Sabang dengan bertanyakan soalan-soalan sensitif beserta dengan visual yang tidak wajar dalam kaji selidik berkenaan.

"Terdapat juga soalan yang bertanyakan sama ada pelajar perempuan sudah mula datang haid atau belum. Bertanyakan soalan kepada anak-anak yang baru selesai sekolah rendah adalah suatu yang tidak wajar dilakukan," tegas Nurlina yang juga seorang kakitangan kerajaan.

Ekoran berang dengan tindakan tersebut, Nurlina melarang anaknya menjawab soalan dalam borang kaji selidik itu.

Dia juga akan mengemukakan bantahan kepada pengurusan sekolah terbabit serta Jabatan Pendidikan daerah.

"Guru-guru seharusnya memeriksa terlebih dahulu borang kaji selidik itu untuk memastikan imej yang dicetak bersesuaian atau tidak," kata Nurlina. -Utusan

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: