Pusara P Ramlee, Saloma selesai dibaik pulih

Kuala Lumpur: Kerja baik pulih pusara Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan isterinya, seniwati Saloma yang rosak teruk terkena pokok tumbang, siap sepenuhnya menjelang Aidiladha.

Projek baik pulih pusara yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang itu, dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan stesen televisyen berbayar Astro dengan kos RM25,000.

Babit kos tinggi

Pengerusi FINAS, Datuk Md Afendi Hamdan, berkata kos kerja membaik pulih terbabit agak tinggi kerana bahan binaan terpaksa ditempah dari Itali.

“Alhamdulillah, kerja menggantikan pusara lama berjaya disiapkan seperti yang kita janjikan, iaitu sebelum Hari Raya Haji.

“Kita mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya kerana terpaksa menunggu batu marmar yang diimport dari Itali, seperti dicadangkan pembuat kubur.

“Bagi saya, usahlah diperdebatkan soal kos lagi kerana kita melakukan semua ini sebagai menghargai jasa mereka kepada industri perfileman tanah air.

Tanggungjawab FINAS

“Ia juga tanggungjawab FINAS kerana setiap tahun, peminat dari seluruh negara, Singapura dan Indonesia akan datang menziarah, jadi takkan kita mahu buat ala kadar saja,” katanya.

Afendi berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tahlil dan peletakan batu nisan dua pusara terbabit, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh; pelakon, Mariani Ismail dan Datuk Mustapha Maarof serta Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Jurey Latiff Rosli dan Datuk Aznil Nawawi.

Selain itu, beliau berkata, FINAS juga akan membaik pulih kubur Datuk Sudirman Arshad di Temerloh.

Teliti kos pembaikan

“Kami sudah menghantar beberapa pegawai untuk meneliti dan menilai kos pembaikan pusara terbabit.

“ Insya-Allah, tahun depan kita akan memulakan kerja membaik pulih pusara Sudirman sebagai mengenang jasa penghibur terbabit terhadap bidang muzik” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya terpanggil untuk bekerjasama dengan FINAS selepas perkara berkenaan disuarakan Aznil.[BH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

1 comments: