#TAHNIAH :Cucu ke-9 Allahyarham Tan Sri Azizan diberi nama Azizan

Faekah memangku Azizan, orang baru dalam keluarganya.

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak tidak sempat menatap wajah dua cucu baru yang dilahirkan ketika ditempatkan di wad ICU, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan seminggu selepas kematiannya.

Isterinya, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, dua orang baru itu dianggap penyeri bagi keluarga yang masih bersedih dengan pemergian Allahyarham.

Menurutnya, cucu lelaki anak kelimanya diberi nama sempena Azizan memandangkan mereka sekeluarga baru kehilangan Allahyarham, tambahan pula kebanyakan nama anak dan cucu diberikan oleh Allahyarham.

“Anak-anak selalu rujuk kepada Allahyarham untuk menamakan anak agar mempunyai pengertian yang baik. Selepas ketiadaannya, mereka sepakat menamakan cucu lelaki anak pasangan Muhammad Rafi’iy dan Cik Nor Farahana Che Deris sebagai Azizan,” katanya.

Bayi lelaki comel itu dilahirkan pada 2 Oktober pada jam 12.25 malam dengan berat 2.21 kilogram, dilahirkan dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan.

Faekah berkata, seminggu sebelum kematian Allahyarham, beliau menyambut kelahiran cucu perempuan dari anak keenamnya, Wassimah yang menetap di Kuala Lumpur.

“Saya kini mempunyai sembilan cucu, tujuh daripadanya lelaki. Rumah ini yang agak sunyi selepas ketiadaan Allahyarham kini kembali ceria apabila ada ramai cucu. Saya mendiami rumah ini bersama Muhammad Rafi’iy dan anak keempat, Rahmah,” katanya.

Menurutnya, adik beradik Muhammad Rafi’iy mencadangkan nama Azizan berikutan baharu sahaja kehilangan ayah tercinta, selain mahu memperingati nama itu setiap masa

“Saya tiada halangan, terpulang pada Muhammad Rafi’iy dan dia bersetuju dengan cadangan itu. Allahyarham memang suka manjakan cucu dan sangat sayang pada semua cucu,” katanya.

Faekah berkata, terdapat juga orang luar yang sering meminta pandangan daripada Allahyarham untuk menamakan anak atau cucu, dan Allahyarham tidak lokek memberi cadangan nama yang mempunyai pengertian baik.

Allahyarham Azizan meninggal dunia di HSB, pada 11.05 pagi, 26 September lalu selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius. Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah selain kegagalan beberapa organ dalaman.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: