#BOLASEPAK :Pahang Juara Piala Malaysia 2013

PAHANG menamatkan penantian 21 tahun menjulang Piala Malaysia apabila bergelar juara selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Jaringan tunggal penyerang import Tok Gajah, Matias Ruben Conti minit - 58 yang bijak menyambar hantaran lintang dari Azamuddin Akil di sebelah kiri gawang Kelantan sudah cukup memastikan kemenangan mutlak Pahang.

Beraksi dalam keadaan padang basah kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati dengan lebih banyak melakukan gerakan melalui hantaran jauh.

Pahang hampir berada di depan pada minit ke-10 apabila hantaran lintang dari R Gopinathan gagal ditampan kemas Conti dan Azamudin Akil yang melegakan kira-kira 50,000 penyokong setia Pahlawan Merah.

Tersentak dengan serangan tersebut, Kelantan menyusun serangan menggempur kubu Tok Gajah melalui gerakan tiga serangkai Dickson Nwakame, Norfarhan Mohamad dan Mohd Badhri Radzi.

Sepakan percuma dari luar kotak penalti diambil Indra Putra Mahyudin (m-18) hampir meletakkan Kelantan di depan namun sedikit tersasar di sebelah kiri gawang ketika benteng terakhirnya Pahang, Khairul Azhan Khalid sudah pun tertewas.

Kesilapan pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart yang menjatuhkan Nwakaeme (m-24) hampir memberikan sepakan penalti buat Kelantan selepas pemain TRW mendakwa kekasaran tersebut berlaku dalam kotak penalti namun pengadil perlawanan Nagor Amir Noor Mohamed hanya memberikan sepakan percuma.

Tok Gajah yang enggan mengalah turut mengatur gerakan memburu gol dan berpeluang mendahului namun rembatan kencang R Surendren terkena palang gol tiga minit kemudian.

Norfarhan turut terlepas peluang menjaringkan gol apabila rembatannya berjaya ditepis Khairul (m-34) sebelum 10 minit kemudian sekali lagi pemain gagal menewaskan benteng terakhir Tok Gajah sebelum kedua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bermula babak kedua Pahang yang melakukan sepak mula hampir memecah kebuntuan apabila berlaku keadaan kelam kabut depan gol TRW namun Fauzi Roslan gagal menterjemahkan dengan jaringan.

Gol dicari Pahang akhirnya menjelma pada minit-58 apabila Conti menanduk cantik hantaran lintang dari Azamuddin yang gagal ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Ketinggalan 0-1 tidak melemahkan semangat anak didik Bojan Hodak yang melancarkan serangan bertali arus selepas itu namun kekebalan benteng pertahanan Pahang menggagalkan usaha pemain Kelantan.

Berbaki 10 minit perlawanan terakhir Kelantan mempunyai dua peluang menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Fakri Sharani dan Norfarhan tetapi Khairul Azhan tetap tangkas memastikan gawang tidak dibocori sehinggalah tamat perlawanan.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: