#HOT :PAS kecam laporan The Star gelar Ibrahim Libya pengganas

Ibrahim Libya (kiri) bersama beberapa rakannya. Gambar fail milik keluarga Ibrahim Libya.

Calon ketua pemuda PAS, Suhaizan Kaiat hari ini menyifatkan laporan akhbar milik MCA bertajuk “Major Cases Involving Violant Deviant Groups in Malaysia” sebagai biadap kerana menamakan allahyarham Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim Mahmud sebagai pengganas.

Bekas Ketua Pemuda PAS Johor itu, berkata laporan mendakwa Ibrahim sebagai salah seorang pengganas yang berjaya ditumpaskan pihak berkuasa pada 19 November 1985.

"Hari ini kita dikejutkan dengan berita diterbitkan The Star memetik nama allahyarham Ibrahim Libya sebagai pengganas yang ditumpaskan pihak berkuasa pada November 1985.

"Saya rasa tuduhan tersebut tidak tepat dan biadap kerana peristiwa Memali yang dimaksudkan oleh The Star adalah peristiwa yang masih gagal disabitkan sebagai aktiviti pengganas melibatkan Ibrahim sebagai pemimpin masyarakat di situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata, sebahagian ahli sejarah dan penganalisis politik menyatakan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa melalui arahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika itu memiliki agenda tersembunyi.

Katanya, status Ibrahim dan beberapa rakannya yang ditembak disahkan sebagai syahid oleh bekas Ahli Majlis Fatwa Kedah, Yahya Junid pada ketika itu.

"Maka, untuk meletakkan kedudukan Ibrahim sebagai pengganas di Malaysia seperti dilaporkan The Star adalah amat tidak bertanggungjawab khusunya kepada ahli keluarga dan kebanyakan rakyat yang mengenali allahyarham.

"Malah, kes Memali yang beberapa kali dibawa ke mahkamah masih gagal diputuskan kedudukannya sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau mendesak The Star menarik balik berita yang disiarkan hari ini dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan Ibrahim khususnya atas laporan yang amat meleset itu.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk memanggil rakyat untuk menyatakan bantahan sekiranya tiada sebarang tindakan menarik balik dan permohonan maaf dibuat oleh akhbar milik MCA itu.

Pada 19 November 1985, Ibrahim dan 13 pengikutnya terkorban di Kampung Memali di Baling, Kedah dalam satu pertempuran dengan pasukan polis selepas Ibrahim enggan menyerah diri untuk ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kerajaan mendakwa Ibrahim mengamalkan ajaran sesat berbahaya tetapi ia dinafikan oleh pemimpin PAS dan beberapa tokoh agama.[Rakyat Marhaen]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: