#INFO SIHAT: Usah ambil mudah risiko diabetes

Oleh Nor Faizah Mohamed

Jika ditanya secara rambang mengenai diabetes, rata-rata mengatakan ia berpunca daripada pengambilan makanan manis yang berlebihan, tidak bersenam, mengalami masalah berat badan dan penyakit yang diwarisi dalam keluarga.

Jika ditanya pula mengenai rawatan untuk pesakit diabetes, majoriti pantas mengatakan pengambilan insulin selain pengambilan ubat yang teratur.

Hakikatnya, masih ramai reaktif dan bukan proaktif dalam hal berkaitan penyakit yang lebih dikenali sebagai kencing manis ini khususnya membabitkan penyakit diabetes jenis dua yang kini dihidapi kira-kira 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia.

Berdasarkan kaji selidik dilakukan Novo Nordisk Pharma ke atas 1,012 responden berusia lebih 18 tahun baru-baru ini, 33 peratus mendedahkan tidak pernah menjalani ujian kesihatan secara berkala dan mungkin hidup tanpa mengetahui dirinya menghidap diabetes.

KEMPEN kesedaran diabetes anjuran Novo Nordisk Pharma disertai (dari kiri) Dr Feisul Mustapha dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Henrik Bendix Dahl dari Novo Nordisk, Profesor Dr Nor Azmi dan Dr Chan Siew Pheng.

Selain itu, 62 peratus yang didapati berisiko tinggi menghidap diabetes tidak mengambil langkah proaktif dalam mendapatkan maklumat lanjut malah tidak kisah dengan berat badan mereka lalu mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Apa yang pasti, majoriti responden mengatakan penyakit ini hanya diberi perhatian apabila diri mula disahkan menghidapnya hingga terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan.

Mengecewakan tapi itulah hakikatnya yang berlaku dalam masyarakat negara ini. Kaji Selidik Kesihatan Dan Morbiditi Kebangsaan 2011 (NHMS) menganggarkan pada 2030, Malaysia akan mempunyai kira-kira tiga juta penghidap diabetes.

Kadar kelaziman diabetes ini bakal mencapai angka yang membimbangkan iaitu 20.6 hingga 36.6 peratus dalam kalangan mereka yang berusia antara 50 hingga 69 tahun.

Kaji selidik NHMS 2011 itu juga menunjukkan kelaziman diabetes berlaku lebih tinggi di luar bandar berbanding kawasan bandar.

Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi merangkap Presiden Persatuan Metabolik dan Endokrin Malaysia (MEMS), Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, gesaan tegas ke atas perubahan gaya hidup perlu dilakukan segera bagi mengelakkan meningkatnya jumlah pesakit diabetes di negara ini.

“Semuanya berkaitan dengan gaya hidup harian. Dulu kita jarang dengar kanak-kanak mengalami masalah jantung, kegemukan dan diabetes tapi kini statistiknya makin meningkat kerana keengganan ibu bapa itu sendiri mengubah gaya hidup mereka.

“Diabetes atau kencing manis ini bukan lagi sekadar ‘masalah potong kaki’ apabila keadaan bertambah teruk tapi menjangkau kepada penyakit lain seperti barah dan jantung.

“Komplikasi yang muncul disebabkan diabetes ini akan meningkatkan lagi kos rawatan dan berbahaya, sekali gus memberi risiko kematian disebabkan kaitannya dengan penyakit kardiovaskular, nefropati iaitu kerosakan buah pinggang, neuropati seperti kerosakan saraf dan kehilangan deria rasa pada kaki dan jari kaki yang boleh mengakibatkan amputasi serta retinopati yang boleh menyebabkan buta, katarak juga glaukoma,” katanya ketika kempen kesedaran diabetes Novo Nordisk, baru-baru ini.

Terdapat dua jenis diabetes iaitu bergantung pada insulin dan tidak bergantung pada insulin. Diabetes yang bergantung pada insulin sering berlaku kepada kanak-kanak dan remaja.

Rawatan hanya boleh dikawal menerusi suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Biasanya pesakit mempunyai ahli keluarga penghidap diabetes.

Jenis kedua atau yang tidak bergantung pada insulin selalunya berlaku dalam kalangan dewasa berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan.

Rawatan dilakukan menerusi kawalan makanan, senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Ia biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes.

Tambahnya, berbanding lelaki yang kuat ketahanan badan, wanita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila menghidap diabetes.

Justeru kebanyakan wanita mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan masalah lain apabila menghidap diabetes.

Bagi wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung, menurut Dr Nor Azmi, ini berlaku disebabkan perubahan hormon dan faktor pemakanan.

Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.

“Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal akan menyebabkan keguguran, terencat pembesaran dan berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang.

“Malah bayi akan membesar secara tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu melahirkan anak secara normal,” jelasnya.

Menurut kajian, satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu dan sekiranya kedua-duanya mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh bayi berkemungkinan menghidapinya.

Sama ada pesakit menghidap diabetes atau sebaliknya, setiap individu perlu membuat pemeriksaan awal ini kerana menerusi ubat-ubatan, senaman dan pemakanan seimbang, diabetes boleh dikawal malah dicegah.

Ramai tidak tahu diabetes boleh membawa kepada penyakit jantung yang menyebabkan kematian awal malah kebanyakan penghidap sakit jantung yang meninggal pada usia muda selalunya mempunyai diabetes.[myMetro]

p/s:Segala penyakit lain berpunca dari masalah diabetes@kencing manis.Ini bermakna sekiranya kita mencegah diabetes secara automatik dapat mencegah berlakunya masalah penyakit kronik yang lain.Jom kita semua ambil kesedaran ini dengan mengamalkan meminum minuman kesihatan luarbiasa yang boleh mencegah risiko diabetes dan seterusnya membawa risiko kepada penyakit berbahaya lain.Maklumat lanjut boleh KLIK DISINI

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: