#Isu Syiah: KDN Fitnah, Saya Akan Saman Zahid Hamidi & Abdul Rahim - Mat Sabu

Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwa dia seorang pengikut ajaran Syiah.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata tindakan serupa juga akan diambil terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi kerana didakwa mengemukakan 'bukti' yang memfitnahnya.

"Saya telah menghubungi peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap fitnah Naib Presiden Umno dan KSU Kementerian Dalam Negeri terhadap saya," katanya dalam satu kenyataan.

Mat Sabu berkata beliau yakin bukti yang didedahkan KDN pada Khamis adalah satu fitnah yang cuba menjatuhkan imej dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin nombor dua PAS.

"Kita yakin sidang media pendedahan bukti yang mendakwa saya pengamal ajaran syiah itu dibuat lanjutan daripada kenyataan Ahmad Zahid dalam ucapan penggulunggan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

"Kenyataan beliau memang tidak bertanggungjawab. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan dalam satu kes membanteras jenayah seperti, 'tembak dulu, baru siasat'," katanya.

Mat Sabu menegaskan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberi imej buruk kepada kerajaan dan negara ini.

Pada Khamis, Abdul Rahim dalam satu sidang media mendedahkan beberapa bukti yang mengaitkan Mat Sabu sebagai seorang pengikut ajaran Syiah.

Antara lain, beliau mendakwa Mat Sabu sering membaca 'Selawat' mengikut ajaran Syiah serta menyatakan rasa kagumnya terhadap kempimpinan dan perjuangan ulama Syiah Iran, Imam Khomeini yang merupakan ikon mazhab tersebut.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Ahmad Zahid mendakwa pemimpin nombor dua PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah.

Abdul Rahim juga berkata Mat Sabu semasa mengulas perutusan Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada 25 Disember 2008.

Bukan itu sahaja, Abdul Rahim mendakwa Mat Sabu secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

Beliau turut mendakwa seorang tokoh agama juga pernah menjelaskan Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat pemimpin PAS itu menunaikan solat menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya dan amalan tersebut cukup sinonim dengan kumpulan Syiah.[mStar]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: