#MESEJ UNTUK KFA:'Usah hapus logo sarat kejayaan'

GABUNGAN kelab penyokong pasukan bola sepak Kedah Darul Aman menggesa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengkaji kembali cadangan untuk menggunakan logo baru musim depan kerana logo lama sarat dengan kejayaan membanggakan sebelum ini.

Difahamkan, logo baru itu telah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Kedah, namun gabungan tersebut mengharapkan agar ianya dikaji semula kerana logo lama sudah cukup menarik dan masih relevan sehingga kini.

Jurucakapnya, Mohammad Adhan Mat Aji berkata sekiranya hendak ditukar sekalipun pastikan logo yang baru adalah lebih dinamik, teratur, kemas dan berdaya saing jika dibandingkan dengan logo lama.

Menurutnya, jika KFA mahu menukarkan maskot kenari kepada helang ia mungkin tidak terlalu menyentuh perasaan penyokong hijau kuning berbanding isu logo yang merupakan sebahagian dari buah fikiran bapa pembangunan bola sepak Kedah, Arwah Datuk Ahmad Basri Akil.

“Sebagai contoh Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA), terdapat harimau di dalam logo mereka tetapi mereka menggunakan maskot seladang dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pula terdapat burung Kenyalang di dalam logo mereka tetapi mereka menggunakan maskot buaya.

“Berdasarkan contoh-contoh ini saya percaya bahawa cadangan penggunaan logo baru perlu dipertimbangkan dan mengharapkan KFA mengkaji kembali perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Gabungan beberapa kelab penyokong tersebut terdiri daripada hijaukuning.com, kenari fans squad, penyokong setia hijau kuning, ultras kedah dan peminat bola sepak kedah.

Mohammad Adhan berkata, gabungan bukan mahu menentang pembaharuan dalam perubahan untuk menjadi lebih baik namun perlu relevan selain tidak menafikan sejarah yang lalu.

Menurutnya, menukar logo dengan mudah bukanlah pembaharuan dinantikan dan tidak mencerminkan keseriusan pembaharuan yang mahu dijalankan malah kelihatan mencacatkan lagi nilai imej itu sendiri buat pasukan Kedah yang dikenali antara pasukan yang dihormati.

“Ciptaan asal logo lama sudah tersedia dengan kesenian yang tinggi bersama identiti selain mencerminkan lambang negeri Kedah yang sejati,” katanya lagi.

Jelasnya, antara kejayaan membanggakan terselit di sebalik logo lama berkenaan ialah muncul juara berganda pada musim 2007 dan 2008 yang merupakan satu aras masih gagal dicabar oleh mana-mana pasukan di Liga Malaysia sehingga ke hari ini.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: