#PANAS: Pemilik Akaun Facebook Hasut Guling Kerajaan Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis pada Khamis menahan pemilik akaun Facebook yang beroperasi dengan nama Asmaelz Hadzeny II yang diburu sejak minggu lepas kerana menghasut orang ramai menyertai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada 11 pagi di Saratok, Sarawak.

"Suspek yang merupakan seorang penganggur kini dalam proses untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi membantu siasatan," katanya dalam catatan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia.

Hadi Ho berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Dalam pada itu, rancangan pihak tertentu menganjurkan perhimpunan haram itu terus mendapat bantahan pelbagai pihak.

Di SHAH ALAM, lima badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Bekas Tentera British Malaysia, Kelab Veteran Umno Shah Alam dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia membuat laporan polis membantah acara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 3.30 petang Khamis.

Turut berbuat demikian Persatuan Tadika Kemas Parlimen Shah dan parti Barisan Progresif India (IPF) Bahagian Shah Alam.

Wakil Persatuan Bekas Tentera British Malaysia, Abdul Aziz Joned, 77, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan tegas terhadap petualang yang ingin membuat huru-hara dengan menggulingkan kerajaan.

Setiausaha Kelab Veteran Umno Shah Alam, Shamsudin Hashim, 59 pula berkata: "Kalau nak jatuhkan kerajaan tunggulah masa pilihan raya. Kita diberi peluang menukar kerajaan setiap lima tahun." - BERNAMA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: